Tuesday, February 9, 2016

Wujud | Prolog

Assalamualaikum. 
Anda, my readers (or just simply someone who stumbles upon my shabby blog) how are you? ^_^

Lama tak menulis.
Semenjak sudah bekerja Alhamdulillah, masa semakin cemburu pada saya.
Dah dewasa ni pun saya tak pandai urus masa dengan efektif.
Atau mungkin waktu belajar dulu sangat pandai mencuri masa, sampai dalam sehari boleh tulis dua, tiga entri. heh.

Anyway, karya terbaru. Mudah-mudahan kali ni berjaya habiskan sampai epilog. Nampaknya kerjaya sebagai novelis masih jauh di seberang lautan tak mampu nak gapai heheh.


"Sudah ke belum?"

Beberapa gambar pasu bunga lusuh yang sudah pudar warnanya melekat di dinding dalam susunan rawak. Ada yang pitanya sudah tertanggal. Sebuah jam analog jenama Quartz terhenti pada jam 3:15 dengan jam saat masih bergerak.  Kipas beredar perlahan dengan bunyi berkeriuk seolah-olah ada skru yang tertanggal, perlahan-lahan memintas bayang jeriji kayu. Itu satu-satunya tingkap yang memberi ruang untuk cahaya masuk ke bilik sempit ini.

Suasana suram.

"Sudah ke belum?" Tanyanya lagi, nadanya tinggi sedikit. "Bukan apa, aku ni pelupa."

Aku menghalakan semula pandangan ke hadapan. Tangannya sibuk mengemaskan meja yang sudah tersusun rapi. Pasu kecil berisi kaktus plastik yang elok terletak di sudut kiri meja dibawanya ke tengah. Tiga mangkuk kayu yang disusun bertingkat yang pada mulanya di tengah meja disusunnya semula ke dalam laci. Kemudian jemarinya dilurut resah sebelum dia kembali mengeluarkan mangkuk-mangkuk tadi ke atas meja. Dia mengangguk sedikit sebelum memandang tepat ke wajahku. Menanti dengan sabar untuk apa yang aku bakal perkatakan, walaupun mungkin sama sahaja dengan permintaan pelanggannya yang sebelumnya.

Aku cuba menyusun ayat di kepala sambil kami bertentang mata. Kemudian, setelah menelan liur, aku cuba memulakan bicara namun sesuatu membuatkan keningku bertaut. Kata-kataku terhenti di tenggorok. Wanita berusia lingkungan 50-an ini tidak memandang tepat ke mataku. Lebih tepat lagi, tiada mata untuk memandang tepat ke mataku. Terkejut, aku mula tersedu.

Dia tersenyum pahit, menghela nafas lama dan menghembusnya dengan cepat, mengangguk sedikit dan menelengkan kepalanya ke kanan sambil menyusun ketiga-tiga mangkuk kayu selari di atas meja.

"Terkejut?" nadanya bersahaja, seolah-olah sudah biasa baginya melihat reaksi sepertiku.
Aku pantas menutup mulut yang ternganga, dan cuba berkelakuan biasa. Janggal rupanya. Aku tersedu lagi.

 "Jangan pandang lama-lama. Tak payah cari, sebab memang tak ada." sambungnya lagi ketika tanpa sedar aku merenung matanya. Seduku makin hebat. Aku membetulkan duduk. Sebotol air ku keluarkan dari beg dan ku teguk pantas. Dia membuka satu persatu laci di sebelah kiri meja dan mengeluarkan sebungkus serbuk berwarna hijau jed dan seutas rantai hitam dengan loket buah ruby merah. Serbuk itu dituang memenuhi mangkuk yang pertama sebelum tiba-tiba perbuatannya terhenti dan dia memandangku.

"Rasanya kau ni sama macam yang lain. Kau nak mati kan? Ke...nak hilang je? Baik bagitau cepat. Aku tak nak membazir masa dan serbuk mahal ni."

Aku tersentak. Seduku sudah hilang tapi nafasku pula jadi tidak menentu. Dia memang tahu sebab kehadiranku di sini. Sekali lagi aku menelan liur. Pandanganku jatuh ke pangkuan. Aku tak boleh menangis lagi. Cukup.

"Mati." ujarku pendek. Dia kembali menuangkan serbuk itu ke mangkuk hingga penuh, umpama mangkuk nasi musafir yang kelaparan. Namun tiba-tiba, seolah-olah baru tersedar dari lamunan, dia memberhentikan perlakuannya. Sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi diri sendiri, tergopoh-gapah dia memasukkan sedikit demi sedikit serbuk itu semula ke dalam bekasnya. Tinggal separuh sahaja di dalam mangkuk, lalu dia berhenti. Kembali dia membetulkan duduk di kerusi. Telapak tanggannya dilap ke baju.

Loket itu pula diletakkan di mangkuk yang paling hujung. Sekali lagi disusunnya elok biar selari. Dia mengisyaratkan padaku untuk memasukkan sesuatu ke mangkuk yang di tengah. "Ada bawa kan? Gambarmu?"

Aku angguk dan keluarkan sekeping gambarku 2 tahun yang lalu. Gambar itu ku letakkan di dalam mangkuk di tengah. Buat seketika aku pandang wajahku di situ. Segaris senyuman menghiasi wajahku yang sedikit pucat. Tanpa sedar aku tersenyum sedikit. Cuba tersenyum seperti aku di dalam gambar itu.

"Tak ada patah balik lagi tau. Jangan cakap aku tak bagi amaran."

Aku mengalihkan pandangan ke wajahnya. Wajah tanpa mata itu tidak lagi menggerunkan. Seolah aku sudah lali. Lali dari segala perasaan. 

Aku mengangguk kecil. Dia membuka laci kanan pula. Kali ini dia mengeluarkan sebilah pisau belati. Aku memejamkan mata, membiarkan dia memperlakukanku sepertimana dia memperlakukan pelanggan-pelanggannya sebelumku.
Share:

0 comments:

Post a Comment

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....