Sunday, February 10, 2013

Teladan | Kisah Si Penjual Kipas

Salam alaykum =)

Lama tak bercerita kan? Ni rasa nak buat entri yang bermanfaat sikit jadi saya nak kongsi satu cerita dari buku 87 Kisah-kisah Teladan karangan Abu Mu'az yang diterbitkan oleh 
Nasyeed Edutainment Publishing yang saya beli masa tahun 2010 dulu. 

sumber: malipoh.blogspot.com

Suatu ketika dahulu, ada seorang penjual kipas. Kipasnya diperbuat dari bulu-bulu burung dan dijual di pasar. Ia sangat laris kerana dibeli oleh isteri pembesar-pembesar.

Beberapa lama kemudian dia tidak lagi kelihatan menjual kipasnya di pasar. Sahabatnya tertanya-tanya ke mana dia pergi menghilangkan diri. Barangkali juga dia jatuh sakit.

Pada suatu hari, seorang sahabat karibnya telah mengunjungi rumahnya untuk mengetahui keadaannya yang sebenar. Setelah memberi salam dan meminta izin untuk masuk, dia pun bertanya, "Mengapakah engkau tidak kelihatan lagi di pasar. Apakah yang menyebabkan engkau tidak datang lagi ke sana?"

Maka penjual kipas itu pun bercerita mengenai suatu peristiwa yang telah terjadi kepadanya. Seperti biasa dia menjual kipasnya di pasar Baghdad. Namun hari itu tiada satupun kipasnya yang laku. Oleh itu dia menjual kipasnya dengan berjalan-jalan di sekitar bandar itu dan memasuki lorong-lorong rumah para menteri.

Sedang dia berjalan, tiba-tiba dia terlihat seorang gadis di pintu rumah yang besar. Gadis itu bertanya apa yang sedang dibawanya. Setelah dinyatakan bahawa dia menjual kipas, maka dia dijemput masuk ke dalam rumah untuk melihat lebih dekat barangannya.

Sebaik sahaja dia berada di dalam, pintu rumah telah dikunci dengan segera oleh pembantu rumah. Di hadapannya terdapat pelbagai perhiasan emas dan perak.

Kemudian datang seorang perempuan cantik yang berhias indah dengan memakai bau-bauan yang harum. Penjual kipas itu terus memejamkan mata kerana bimbang dengan tipu daya perempuan cantik itu.

Perempuan itu dengan suara menggoda berkata:
"Selamat datang wahai orang muda. Sudilah tinggal bersama kami sebagai tetamu selama tiga hari!"

Penjual kipas itu menyedari ini merupakan suatu perangkap, jadi dia cuba untuk melepaskan diri dari rumah itu. Setelah berfikir, dia pun menyatakan bahawa dia ingin membuang air. Mungkin dengan cara itu ada peluang baginya untuk melepaskan diri.

Permintaannya itu dibenarkan tetapi mesti ditemani orang lain. Pembantu rumah itu menunjukkannya sebuah bilik (tandaslah). Setelah pembantu itu pergi, penjual kipas tersebut segera menutup pintu dan mencari jalan. Dia memanjat ke arah bumbung. Setelah berada di atas bumbung, dia melihat ke bawah, terasa hilang semangatnya kerana tingginya bangunan itu.

Dia pun mengangkat wajahnya ke langit sambil berseru:
"Ya Tuhanku, tiada perkara yang tersembunyi dari pengetahuan-Mu. Baiklah aku mati dari melakukan maksiat terhadap-Mu."

Penjual kipas itu terus terjun dari bangunan tinggi itu. Tiba-tiba dia disambut oleh malaikat di atas sayapnya sehingga dia sampai ke rumah.

Dia merasa amat bersyukur kepada Allah kerana telah berjaya menyelamatkan diri dari perempuan itu dan terselamat dari jatuh. Akibat kejadian itu, dia telah berjanji tidak akan keluar dari rumah lagi sehinggalah meninggal dunia.

"Sebab itulah aku tidak lagi ke pasar." Dia mengakhiri ceritanya.

Sejak itu dia telah mengasingkan diri di dalam sebuah bilik di rumahnya. Dia sentiasa beribadat dan berzikir kepada Allah.

____________________________________________________________________________________________

Moral utama dari kisah ini ialah, lebih baik kita mati daripada menyekutukan Allah dan membuat maksiat terhadap-Nya. 

Dan ya haha aku tau anda semua mesti terganggu dengan gambar kipas di atas sekali tu XD. Acah je. Bukan kipas tu, kipas ni:


sumber : lannishsouvenir.wordpress.com

Semoga bermanfaat! Yang baik jadikan iktibar, yang buruk jadikan sempadan.



Share:

1 comment:

  1. salam.singgah follow kat sini.thanks sebab sudi datang ke page saya. ;) salam ukhwah.

    ReplyDelete

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....