Monday, October 29, 2012

Kisah ayahanda Rasulullah SAW yang hampir disembelih

Salam alaykum =)



Baiklah hari tu aku ada letak nota kaki pada entri Salam Aidiladha! yang lepas sebagai teaser bagi entri ni. haha mengada nak letak teaser bagai. Tapi takpe benda baik untuk dikongsi harus dihebahkan, betul tak kawan2? Yaaa...

Jadi jom kita teruskan dengan satu sedutan dari buku Biografi Muhammad bin Abdullah : Perjalanan Hidup Seorang Nabi karangan Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd Rahman terbitan PTS Islamika. Suppose ramai yang dah ada buku ni sebab bestseller nih, jadi pada anda yang belum dapatkan senaskhah, rebutlah di kedai-kedai buku berdekatan sebab tak rugi beli ni; kulit keras, saiz B3, 500 muka surat (tidak termasuk kulit) dan harganya cuma RM35 di Semenanjung dan RM38 di Sarawak & Sabah. Berbaloi tau, terutamanya kalau kita tengok isi kandungannya yang bernilai. =)

Ok jom baca.

Abdul Muttalib mempunyai 10 orang anak lelaki dan enam orang anak perempuan. Antara anak-anak lelakinya adalah Abbas dan Hamzah. Mereka adalah orang yang masuk Islam dalam kalangan anak-anak Abdul Muttalib. Kemudian Abu Talin, nama sebenarnya Abdul Manaf; Abu Lahab, nama sebenarnya Abdul Uzza. Mereka berdua ini sempat bertemu dengan Islam tetapi tidak masuk Islam. Yang mati sebelum zaman Islam adalah Abdullah ayah kepada Muhammad, Hijin, Dhirar, Muqaddam, Zubair dan Harith. Anak-anak perempuannya adalah Sofiyah, Ummu Hakim, Atikah, Umaimah, Arwa dan Barrah.

Semasa menggali Zamzam, orang Quraisy menghalang Abdul Muttalib daripada menggalinya. Hanya anaknya Harith yang mempertahankannya. Selepas Quraisy mengakui Zamzam kepunyaannya, dia bernazar kalau Tuhan mengurniakan 10 orang anak lelaki kepadanya, dia akan korbankan salah seorang daripada mereka. Tuhan mengabulkan doanya. Dia mendapat 10 orang anak lelaki, yang kesepuluh adalah Abdullah, ayah Muhammad. Apabila Abdullah sudah dewasa, dialah anak yang paling disayangi.

Apabila Abdul Muttalib tawaf di Kaabah dan di belakangnya diikuti oleh 10 orang anak lelakinya yang gagah-gagah, dia bersyukur kepada Tuhan dan sampailah masanya untuk dia menunaikan nazarnya. Abdul Muttalib pergi berjumpa kahin iaitu seorang pendeta Kaabah, meminta membuat undi kepada anak-anaknya, siapa yang bakal menjadi korban. Dalam hati Abdul Muttalib, dia berharap tidak terkena pada Abdullah.

Tetapi undi terkena kepada Abdullah. Walaupun dengan hati yang berat dan hiba, Abdul Muttalib nekad melaksanakan nazarnya. Orang sepertinya tidak mungkin mungkir dengan nazarnya.

Akhirnya Abdullah dibawa dekat dengan Isaf untuk disembelih di situ. Apabila Quraisy nampak hal itu, mereka menahannya. Tetapi, Abdul Muttalib tetap berkeras dan menyebabkan berlaku kekecohan. Dalam kekecohan itu, berlaku tolak-menolak antara Abdul Muttalib dan Quraisy dan menyebabkan kepala Abdullah terluka.

Quraisy memujuk Abdul Muttalib, "Wahai Abdul Muttalib, engkau ketua Mekah. Kalau engkau sembelih juga anak engkau, hal ini nanti akan menjadi ikutan, menjadi tradisi kepada Arab, siapa yang mendapat sepuluh orang anak lelaki kena sembelih salah seorang daripadanya. Ini hal yang berat dan menghilangkan kebahagiaan. Kalau masing-masing menyembelih anak lelaki sendiri, di mana kebahagiaan lagi. Tolong jangan buat wahai Abdul Muttalib, nanti ia menjadi ikutan."

Tetapi Abdul Muttalib sudah bernazar dan dia mesti menunaikan nazarnya. Akhirnya, dia merujuk pada pendeta suku Saad. Pendeta ini bertanya berapa ganti rugi kepada orang yang dibunuh bagi seorang lelaki yang merdeka pada Quraisy. Mereka berkata 10 ekor unta betina. Pendeta berkata kalau begitu buat undian antara Abdullah dan 10 ekor unta, kalau undian kena pada Abdullah, tambah lagi 10 ekor unta sampailah undian kena pada unta.

Apabila dibuat undian terkena pada Abdullah, ditambah 10 ekor unta lagi. Undi lagi, kena lagi pada Abdullah, ditambah unta lagi. Begitulah sampai 100 ekor unta, baru undi kena pada unta. Pada masa itu, Abdul Muttalib diminta diulang lagi undian bagi memastikan memang undian kena pada unta. Tiga kali diulang undian, memang ia kena pada unta.

Abdul Muttalib menyembelih 100 ekor unta sebagai ganti kepada anak kesayangannya Abdullah ayah Muhammad. Oleh itu, Muhammad ada menyebut, "Aku ini anak kepada dua orang yang hendak disembelih."

Yang pertama Ismail a.s dan yang kedua Abdullah ayah baginda. Oleh sebab pada kedua-duanya ini akan berlaku jadual Allah, maka Allah selamatkan kedua-duanya daripada disembelih. Keturunan Muhammad bin Abdullah amat mulia. Muhammad daripada bangsa Arab iaitu bangsa yang menegakkan Islam dan berbahasa dengan bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran. Muhammad datang daripada kabilah yang paling muliah dalam bangsa Arab.

(muka surat 22-24, di bawah subtajuk Abdul Muttalib melaksanakan nazar menyembelih salah seorang anaknya.)

nota kaki | Tajuk entri yang straightforward =) Sempat pulak aku promote buku. yerrr... *muka derpina*
Share:

0 comments:

Post a Comment

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....