Wednesday, October 31, 2012

Cerpen | Dunia Bukan Syurgaku

Mungkin anda pernah terbaca cerpen ini di blog saya yang lepas2. .. tapi.. saya nak publish lagi jugak . nyahaha~ betapa sayangnya aku dengan cerpen2 ni..huhu~ Telah ditulis, dipublish di Facebook oleh saya sendiri. Moga bermanfaat!


"...sama-samalah kita doakan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman di sisiNya. Amin..."
Sayup-sayup ku dengar suara manusia beransur-ansur kelam. Esak tangis pun semakin hilang. Sunyi mula menghuni ruang hati. Kini aku benar-benar ditinggalkan.
Sempit. Gelap. Hanya itu yang kurasai kini. Beginikah rasanya bakal menempuh hidup baru? Aku tertanya-tanya sendiri. Hidup bukan mati begini.

Dalam berdebar-debar menanti, aku berkira-kira sendiri. Mengenang hidup yang baru sahaja ditinggalkan. Cukupkah apa yang ku lakukan? Cukupkah amalanku? Berapa banyak kemaafanku diterima? Bagaimana keluargaku kini?

Tiba-tiba aku teringatkan ayah.

"Rina! Ayah panggil..." Kakak melaung dari arah dapur. Aku lekas-lekas membalas SMS temanku lantas melangkah ke dapur. Kulihat ayah sedang membelek-belek benih-benih pokok yang baharu dibelinya semalam. Sebaik terpandangkan aku, ayah tersenyum.

"Mari tolong ayah tanam benih ni."

Ayah ni...Rina tak suka main tanah la, hatiku menjerit-jerit. Masam mukaku tak usah cakap la...muncung panjang sedepa. Enggan bergerak, aku kaku berdiri di muka pintu. Ayah sudah bergerak sambil menjinjit beg-beg berisi benih tersebut.

"Aduh, beratnya tong gas ni..."

Kudengar mama merungut perlahan. Aku berpaling lantas memberi pertolongan.

"Eh...bukan Rina nak tolong ayah ke tadi?"

"Ala...mama lebih penting..." ujarku perlahan sambil menolong ibu menggolekkan tong gas ke ruang depan rumah.

"Rina ni...ayah minta tolong dengan Rina tadi kan. Abang kan ada nak tolong mama...kalau Rina tak tolong pun takpe...."

Sekilas ku terpandang ayah di muka pintu. Riak wajahnya berubah.

"Kenapa Rina tak cakap nak tolong mama...lama ayah tunggu kat kebun tadi..."

Sayu suara ayah. Namun aku buat-buat tuli. Betapa kejamnya aku. Ayah terluka namun aku buat tak peduli.

23 Februari. Hari jadi ayah. Namun pada hari yang sama juga, konsert kegemaranku bakal ke udara. Petang tadi kulihat ayah sibuk membeli itu ini untuk menyambut hari jadinya sendiri. Kami anak-anaknya sengaja membutakan mata. Mama dan kakak-kakakku di rumah opah, membantu menyediakan persiapan majlis pernikahan Pak Su Atan. Justeru tinggal abang, aku dan ayah di rumah itu. Telefon berdering. Namun kala itu aku begitu taksub menonton televisyen, lalu ku biarkan telefon berdering.

"Haa...tahu pun senyap." Marahku ketika telefon berhenti berdering.

Namun ketenangan itu tidak lama. Berdesing telingaku mendengar deringan telefon yang nyaring. Abang yang berbaring sejajar denganku di atas sofa mula menjulurkan kakinya yang panjang dan menyepak-nyepak kakiku perlahan. "Angkat la telefon tu Na..."

Namun belum pun aku bangun, ayah sudah terlebih dahulu mengangkat telefon itu. Tangannya sedikit kekuning-kuningan, dan di pipinya terpalit tepung putih.

"Ye...Milah tak balik malam ni?...Takpelah Rina dan Amir kan ada...ok..ok...Waalaikumsalam.."

Gagang diletakkan. Ayah berlalu ke ruang tamu, sambil bercekak pinggang menghadap kami berdua. Mataku langsung terpaku pada skrin.

"Mama kamu telefon tu. Dia cakap dia tak pulang malam ni. Kenapa tak angkat dari tadi?"

Aku tersengih. "Sorrylah yah..konsert ni tak ada ulangan..."

Ayah hanya menggeleng kepala.

"Ayah tengah buat barbecue kat belakang tu. Jom tolong ayah."

Ayah berlalu ke dapur tanpa menunggu lama di situ. Barangkali bimbang kalau-kalau makanan yang dipanggangnya hangus. Kami berdua langsung tidak menunjukkan respons. Sehinggalah ayah datang lagi sekali ke ruang tamu.

"Ayah buat ayam percik...Rina suka kan? Ha...Amir...ada pari panggang tu..jom makan dengan ayah kat dapur.."

"Sekejap yah...tunggu iklan ek?" ujarku pantas, kurang senang dengan gangguan ayah.

Ayah hanya mengangguk dan sekali lagi berlalu ke dapur seorang diri.

Sejam kemudian baharulah konsert itu tamat. Aku dan abang tersenyum seronok. Konsert itu benar-benar menghiburkan.

Dan melalaikan.

Mataku tertancap pada ayah yang sedang memotong kek sendiri di meja makan. Ayam percik, sosej panggang, ayam panggang dan bermacam masakan terhidang di atas meja. Namun wajah ayah nampak sayu. Serba-salah, aku mendekati ayah.

"Ayah masak ni semua?" Ah...soalan bodoh.

"Yela..dah kamu bukan nak tolong ayah..."

Aku bagaikan terpukul dengan jawapan ayah. Abang buat tak endah. Daging pari yang masih panas dan kelihatan menyelerakan dicubit sedikit.

"Sedap la Na...jom makan. Abang dah lapar...Terima kasih ayah sediakan ni semua. Selamat Hari Jadi..."

Ayah tersenyum kelat. Aku tahu ayah terasa hati dengan tindakan kami berdua sebentar tadi.

Mengenangkan semua itu, hatiku tersayat. Aku baru teringat...aku belum sempat memohon ampun pada ayah. Sepanjang 18 tahun hayatku, tidak pernah sekalipun aku mengikhlaskan hati memohon ampun pada ayah. Padaku, ayah tidak sepenting ibu. Ayah tidak sepenting hiburan duniaku. Ayah tidak sepenting kekasih hatiku, yang langsung tidak memunculkan diri kala upacara pengkebumianku pagi tadi. Ayah tidak sepenting syurga dunia yang kucipta sendiri.

Terkenang kembali betapa ayah teruja hendak menghadiahkan aku telefon bimbit baru, namun ku tolak dengan alasan, telefon itu murah. Telefon itu bukan berjenama. Tak trendy. Tak up-to-date.Kalau aku gunakan telefon itu, aku pasti dimalukan rakan-rakan. Dengan mata berkaca-kaca ayah simpan semula telefon bimbit itu. Sekalipun ayah tidak memiliki telefon bimbit, namun ayah langsung tidak menggunakan telefon itu. Apatah lagi memberi pinjam pada adik-beradikku yang lain. Kata ayah, telefon itu aku punya. Ayah akan tunggu sampai waktu aku mahu menerimanya. Tidak ku ketahui, betapa ayah melupakan keinginannya untuk membeli pancing baru semata-mata untuk membelikan telefon bimbit baru itu. Sedangkan aku...mudah sahaja menolak sekali gus membunuh keceriaan ayah.

Aku merintih sendiri. Betapa besar dosaku pada ayah. Terasa bagai memiliki kehilangan. Ayah...ampunkan Rina...

Tanah semakin lembab. Air mengalir dari celah tanah, membasahi kain kafan yang ku pakai kini. Hujan barangkali di luar sana.

"Rina..."

Sayup-sayup kudengar suara ayah...

"Ayah sayang Rina. Ayah redha Rina tinggalkan ayah lebih awal. Maafkan ayah nak...kalau selama Rina hidup, ayah selalu buat Rina sedih.."

7 kaki di dalam liang, aku terpempan.

"Ayah tahu ayah bukan ayah yang baik...Andai ayah cepat-cepat bawak kereta hari tu, mungkin Rina akan selamat. Mungkin doktor sempat selamatkan Rina...Ya Allah...kenapa tidak Engkau ambil aku, bukan anak kesayanganku..."

Sejenak aku terdengar tangisan ayah. Sendu dan berbaur penyesalan. Terasa bagai hendak ku keluar dari pembaringanku kala itu dan peluk ayah erat-erat. Bukan yah...Rina yang salah. Rina paling banyak dosa pada ayah..Rina tak sempat pun minta ampun dari ayah. Ampunkan Rina yah...ampunkan Rina...

"Ayah ampunkan Rina nak...ayah ampunkan semua dosa Rina. Ampunkan ayah juga nak...kerana tak sempat selamatkan Rina. Selama-lamanya Rina anak ayah. Ayah sayangkan anak ayah..."

Bagai ditiup bayu segar tatkala ku dengar pengucapan ayah. Terasa ringan beban di pundakku
kini. Ayah...Rina sayang ayah...

"Dah la tu bang...Rina dah pergi."

Ku dengar ibu berusaha menenangkan ayah. Derap tapak kaki ayah meninggalkan kuburanku beransur-ansur hilang.

Kini tinggal aku seorang. Debaran menghentak dada lagi.
Share:

1 comment:

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....