Thursday, November 1, 2012

Cerpen | Permata Untuk Nadia

Cerpen ni paling aku sayang. Asal aku buat blog baru aku akan publish balik cerpen ni. Telah ditulis dan dishare di Facebook oleh aku sendiri. Boleh share dan letakkan kredit ya. hihi. Moga bermanfaat!


“ Nadia? Tak nak?"

Aku tersentak. Gugup. Acuh tak acuh saja aku mengambil pamphlet yang dihulurkan Sarah. Berkerut dahiku melihat tajuk pamphlet itu.

“Anak angkat?” Nada suaraku seolah-olah menyindir. Seakan tidak sudi. “Perlu ke?”

Buntang mata Huda mendengar pengucapanku. Riak wajah Sarah berubah. “Kau tak nak tolong mereka ke Nadia? Anak-anak yatim Palestin tu semua perlukan kita Nadia. Mereka perlukan perlindungan.” Bersungguh-sungguh nada suara Huda, cuba untuk meyakinkan hatiku yang rapuh. “Ekonomi Palestin sekarang sangat teruk. Tambahan lagi waktu perang macam ini. Kita perlu tolong mereka Nadia. Setakat ambil seorang anak yatim tu jadi anak angkat dan biayai perbelanjaan mereka, tidaklah susah sangat. Kita bertiga boleh kongsi bayar. Kan, Sarah?”

Sarah mengangguk laju. “ Dalam seratus enam puluh lima ringgit sebulan. Lagipun kita satu kumpulan, jadi seorang bayar kira-kira lima puluh ringgit. Taklah mahal sangat Nadia. ”

Aku bungkam. Sarah dan Huda tidak berhenti-henti memujukku agar menerima pelawaan mereka untuk menyertai program anak angkat Palestin itu. Namun aku sudah nekad.

“Orang kata tak nak. Membazir sajalah…”

Seketika suasana sepi.

“Mana kamu berdua tahu benda ni betul ke tidak? Manalah tahu kan, ada orang yang nak tipu duit kita. Guna nama anak yatim lah, bantu Palestin lah…huh, alasan!” Aku cuba mempamerkan riak wajah serius. Tapi kemungkinannya ada. Zaman sekarang bukan semua benda boleh percaya, hatta berkenaan harta anak yatim pun kita mesti siasat kesahihannya terlebih dahulu. Aku kira kata-kataku itu sudah cukup untuk mengubah pendirian kedua-duanya dan mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk menyertai program itu, namun ternyata gagal. Sarah menarik pamphlet yang diberinya padaku sebentar tadi dengan kasar.

“Buang masa saja bercakap dengan orang tak ada hati perut!” Lantas kedua-duanya berlalu keluar dari ruang itu. Terasa bahang amarahnya.

Aku mengeluh perlahan. Bukannya sebab aku kedekut, tapi hal ini membabitkan wang. Aku bukannya anak orang kaya, aku harus pertimbangkan semasak-masaknya kalau hendak menggunakan wang untuk tujuan sebegini. Setiap bulan harus bayar lima puluh ringgit. Sayang duit aku. Kalau beli baju untuk ibu dan ayah di kampung lebih berbaloi daripada menyara hidup seseorang yang langsung tidak ada pertalian darah denganku. Aku harap Sarah dan Huda faham.

Keesokan harinya, itu jugalah yang dibincangkan di dalam kelas. Program pengambilan anak-anak yatim Palestin sebagai anak angkat. Namun aku langsung tidak berminat. Mataku lebih tertumpu pada Saiful yang sedang sibuk mengulangkaji. Ah, rajinnya dia. Hatiku berbunga-bunga.

“Nadia!”

Aku terkejut. Terkulat-kulat aku disergah begitu. Maisara sekadar tersenyum kambing.

“Maafkan aku. Aku tak sedar kau tengah berangan-angan.” Makin lebar senyumannya.

Terasa berbahang wajahku ditegur begitu. Dari ekor mata kulihat Saiful pun turut tersenyum. Malunya! Cepat-cepat aku membalas teguran Maisara bagi menutup malu.

“Nadia dah isi borang permohonan? Nak ambil anak angkat berapa orang?”

Oh, mereka masih berbual tentang program itu. Aku sekadar menggeleng. Seluruh kelas terkejut. Wajahku masih tenang kerana aku sudah menjangkakan reaksi sebegitu. Namun tiba-tiba Saiful menyapa.

“Kenapa Nadia? Nadia seorang saja yang tidak ikut tau.”

Mendengar kenyataannya begitu, aku jadi malu semula. Agaknya mesti dia fikir aku tidak bersimpati dengan nasib anak-anak yatim di sana, sama seperti persepsi Huda dan Sarah terhadapku semalam. Mindaku ligat memikirkan alasan sesuai. Kalau aku ulang semula alasan yang ku berikan semalam, pasti Saiful fikir aku kedekut dan tidak ambil berat akan saudara seagama sendiri di Palestin. Pantas aku menggeleng.

“Tak…maksud Nadia, Nadia tak tahu nak dapatkan borang permohonan tu. Nadia memang nak ambil seorang anak angkat.”

Seusai berbicara, aku terdiam. Terkejut dengan tindakanku yang di luar kawalan itu. Aku tidak sangka sama sekali aku akan mengatakan persetujuanku, padahal pada Sarah dan Huda, ku katakan sebaliknya.

“Oh…itu senang saja Nad. Borang permohonan boleh didapati dalam Internet. ‘Google’ kan ada.”

Tiba-tiba kedengaran suara Huda menyahut dari hujung kelas. Aku berpaling. Senyumannya kian sinis melihat riak wajahku yang jelas kelihatan serba salah.

“Eh…ye ke? Saya tak tahu pun…hari tu dah nak memohon tapi …” Aku menggigit bibir. Sedikit menggelabah, aku hampir-hampir membuka pekung di dada sendiri. Sarah menjungkitkan bahu.

“Apasal kalut sangat ni Nad?” Maisara mencuit bahuku. “Pucat je muka ni? Kalau kau nak borang nanti aku bagi. Kau nak sara berkumpulan ke individu?”

“Dia cakap hari tu nak individu,” Tiba-tiba Sarah mencelah,” Baik kan Nadia ni…hari tu orang dan Huda nak ajak…tapi dia tak nak. Rupa-rupanya nak sara individu…” Sarah menepuk bahuku. Wajahnya sengaja dimaniskan, tajam pandangannya menikam mataku. “…kan Nadia?”

Aku rasa terperangkap. Sarah dan Huda sengaja menjerutku di hadapan Saiful! Tanpa sempat ku menjawab, Maisara sudah menghulurkan borang kepadaku. Hendak tak hendak, aku terpaksa akur.

“Saya pun sara individu.”

Kedengaran suara Saiful seolah-olah meniupkan semangat buatku. Sebentar hatiku bagai dibuai-buai. Tanpa sedar senyumku meleret ke telinga.

Aku merenung skrin komputer lama-lama. Merenung satu persatu wajah-wajah polos yang terpampang di laman web milik Takaful for Child Welfare. Seketika aku buntu. Terdetik simpati di hati tatkala memikirkan kenyataan bahawa anak-anak Palestin yang sempurna sifatnya ini sebenarnya cuma sebatang kara.

Terasa bagai setiap wajah itu merayu-rayu, memanggil namaku untuk memilih mereka. Namun apakan daya, pilihanku cuma satu, justeru itu harus kufikirkan semasak-masaknya. Nasib seorang anak yang tidak berdosa bagai terletak di genggamanku. Begitu ramai anak kecil yang memerlukan perlindungan dan jaminan masa depan. Sekali klik sahaja, dan keputusannya takkan bisa diundur. Sambil menghela nafas panjang, aku menarik skrol ke bawah.

Tiba-tiba pandanganku tertancap pada seraut wajah asing yang kelihatannya seolah-olah baru lepas menangis. Bila ku pandang lama-lama baru kusedar bibirnya yang luka. Aku tersentak. Kasihan! Tanpa berlengah aku terus memilih anak itu.

Ashraf Naser el-Din.

Seusai urusan pengambilan anak angkat selesai, aku menarik nafas lega. Wajah anak kecil itu kutatap lama-lama. Tanpa sedar aku tersenyum bahagia. Berulang-ulang kali kusebut namanya bagaikan menyeru kehadirannya di kala ini. Bagaimana sifatnya dia? Bagaimana perangainya? Apa yang dia suka? Apa yang dimahukannya? Aku jadi teruja dan gembira. Aku ingin berbual dengannya, bermain dengannya, melihatnya membesar, mengajarnya erti kehidupan dan bersama-sama menikmati indahnya menjadi hamba Allah. Senyumku makin lebar.

“Larat ke bayar seorang?” Tiba-tiba ku dengar suara sinis dari belakang. Aku menoleh.

“Oh, Huda.” Aku mengukir senyuman manis. Benar-benar menunjukkan betapa bahagianya aku . Entah mengapa wajah Ashraf terimbau-imbau di mataku sekaligus membuatkan aku lupa kemarahan Huda dan Sarah padaku semalam. Tanpa menjawab pertanyaan Huda, aku kembali menghadap skrin komputer dan dengan bangga menunjukkan gambar anak itu pada mereka. “Namanya Ashraf. Ashraf Naser el-Din. Baru 7 tahun…” seketika aku terkilan mengenangkan nasib anak itu. Baru 7 tahun…sudah bergelar anak yatim. Baru 7 tahun, sudah merasa betapa pahitnya dizalimi di bumi sendiri.

Mengenangkan itu, aku terdiam. Kala aku seusia anak ini, tidak pernah ku disakiti. Pantang dimarahi sedikit aku akan mengadu pada ibu dan ayah. Bila aku mahukan sesuatu, mereka pasti akan cuba memenuhi kehendakku walaupun aku tidak meminta secara terang-terangan. Pendek kata, segala kemahuanku dituruti. Namun itu semua tidak menjadikan aku lupa diri. Aku menghargai pengorbanan kedua-dua orang tuaku dan belajar berdikari. Jujur ku katakan, suatu ketika dahulu aku merasakan aku seorang yang tabah kerana pada pandanganku usaha untuk berdikari itu merupakan satu pengorbanan dan dugaan hidup yang cukup besar. Namun, aku langsung tidak sedar, ada lagi yang lebih malang daripadaku. Pada usia masih mentah, Ashraf sudah kehilangan tempat bergantung. Di saat dia begitu memerlukan belaian kasih seorang ibu dan keutuhan cinta seorang ayah, Ashraf terkapai seorang di lautan keganasan Israel. Namun takdir Tuhan menemukan kita Ashraf! Aku berjanji , masa depanmu tidak akan sekadar hari esok.

“Nadia!”

Tersentak aku dari lamunan. Terkebil-kebil aku melihat Saiful yang betul-betul berdiri di hadapanku. Eh, mana Huda tadi?

“Nadia ni…orang lain semua dah keluar dari kelas. Nadia tak sedar ke? Jauh mengelamun saya tengok.”

Aku tersipu-sipu malu. Terasa bagaikan darahku menyirap ke muka. Serta-merta aku tunduk, cepat-cepat mengemas barang-barangku di atas meja.

“Ashraf Naser ye? Hmm…comel…”

Aku mengangkat muka. Segarit senyuman terlakar di wajah lelaki yang ku kagumi dalam diam itu. Menampakkan lagi manis wajahnya yang sememangnya menyenangkan mata memandang.

Aku berkalih pandangan. Wajah Ashraf ditatap lagi. Berbunga hatiku.

Saiful mengajakku ke kafeteria namun ku tolak lembut. Bukannya tidak sudi namun aku malu. Dia kelihatan sedikit kecewa, namun langkahnya tetap dihayun menuju ke kafeteria. Sebentar telingaku seolah-olah menangkap suaranya mengucapkan sesuatu.

“Mungkin esok…”

Pantas ku menoleh namun Saiful langsung tidak memandang ke belakang semula.

Masa pantas berlalu. Kiraan waktu yang ditetapkan Ilahi sememangnya adil, sesaat pasti takkan bisa diundur.Hanya mereka yang tahu memanfaatkan anugerah masa yang dikurniakan Allah dengan perkara-perkara berfaedah yang pasti akan mendekatkan mereka dengan Yang Maha Agung akan berbahagia menghadapi hari-hari mendatang.

Aku meneruskan kehidupan dengan lebih ceria semenjak kehadiran Ashraf dalam hidupku. Setiap hari aku membuka emel, mengharapkan kiriman dari sana yang memperlihatkan padaku perkembangan anak angkatku itu. Biarpun aku hanya melihatnya dari jauh dan dibantu pula dengan teknologi maya, hatiku tetap merasa bunga kebahagiaannya. Pernah sekali aku menerima gambar Ashraf yang tersenyum sambil menikmati makanan tengaharinya, yang ku jangka mungkin jarang sekali mampu didapatinya. Sungguh gambar itu membuatkan aku gembira yang teramat sehingga menitiskan air mata.

Setiap kali ku dengar berita-berita di corong-corong akhbar berkenaan pencerobohan di Palestin, hatiku dipagut bimbang. Di fikiranku tidak lain hanya Ashraf dan anak-anak Palestin lain yang begitu terdedah dengan bahaya peperangan di situ. Betapa dekatnya anak angkatku itu dengan kematian. Seketika aku bermuhasabah, mengenangkan bahawa kematian itu sesuatu yang pasti bagi semua makhluk Allah yang bernyawa. Namun selepas itu pasti ku terfikir betapa aku akan rasa kehilangan kiranya Ashraf pun kembali ke pangkuan Allah. Tidak mampu ku nafikan hakikat kini aku sudah mengasihi anak kecil itu, walau tidak pernah bertemu muka.

Tatkala aku leka membelek-belek gambar-gambar Ashraf di komputer, ku dengar suara Maisara mengeluh perlahan. Ku perhati tindak-tanduknya sambil menopang dagu. Menyedari dirinya diperhati, perlahan-lahan dia menapak menuju ke arahku dan duduk di sebelahku. Satu keluhan berat dilepaskan.

“Kenapa Mai? Kau tak pergi makan ke?”

Maisara merenung wajahku. Suasana sunyi sebentar. Tiba-tiba ku terdengar bunyi yang kedengaran sayup-sayup dan meruntun jiwa insan yang mendengar. Aku cuba menahan geli hati, namun gagal. Tawaku meledak juga. Mujur Saiful tiada di situ. Maisara memandangku dengan pandangan mencerlung.

“Ok…ok aku minta maaf,” tawaku masih bersisa. “Lapar ye Mai? Habis kenapa tak makan?”

Sekali lagi Maisara melepaskan keluhan berat. Wajahnya sugul.

“Aku rasa aku nak berhenti la. Cukup la enam bulan aku tanggung budak tu. Aku tak larat la Nad…”

Terlopong mulutku mendengar pengakuan Maisara. Rasanya dia sedang berbicara tentang anak Palestin, Miriam Farish yang sudah menjadi tanggungannya selama 6 bulan. Terasa bagaikan kejam perbuatan Maisara andai dia melepaskan anak kecil itu dan sekali lagi membiarkannya terkapai tanpa masa depan.

“Ish Mai…kenapa? Kau dah tak sayangkan budak tu?”

Mai menggeleng. “Sayang memang sayang. Tapi nak buat macam mana…ekonomi aku pun tengah meleset ni Nad. Aku rasa macam tak mampu dah nak hantar duit tiap bulan. Hidup aku di sini ni pun Nad, bukan orang tua aku yang tanggung…semuanya mengharapkan biasiswa. Sikit-sikit adalah kakak aku tanggung tapi sekarang dia pun dah diberhentikan kerja. Takkan aku nak minta duit dari orang tua aku, nanti menyusahkan mereka pula. Aku ingat kalau aku berhenti tanggung Miriam, lebih baik.”

Mendengarkan penjelasan Maisara, aku terdiam. Dahulu itulah sebab utama kenapa aku enggan mengikuti program anak angkat Palestin ini. Aku bimbang belanja sara hidupku tidak cukup memandangkan kebergantunganku pada duit biasiswa, sama seperti Maisara. Namun setelah kehadiran Ashraf dalam hidupku, aku seolah-olah tidak pandang lagi akan itu semua.Kehendakku semua ku tolak ke tepi dan sanggup ku abaikan makan minum semata-mata untuk memastikan duit untuk Ashraf cukup. Kadang-kadang aku sertakan hadiah untuk anak itu. Tiga bulan lepas, aku berikan sehelai baju panas yang ku kait sendiri untuknya. Dan alangkah bahagianya aku tatkala menerima surat balasan dari wakil Takaful for Child Welfare yang ditulis sendiri oleh Ashraf menyatakan rasa terima kasihnya dalam tulisan Arab. Betapa berharganya surat itu buatku. Apatah lagi bila membaca gelaran yang Ashraf berikan padaku, ummi.

“Aku nekad Nad.” Suara Mai kembali menghentak gegendang telinga, menyedarkan aku kembali ke alam nyata. Berterabur memoriku dengan Ashraf. Tanpa memandangku lagi, Maisara mengangkat punggung, berlalu meninggalkanku.

Seketika aku tenggelam dalam diri sendiri. Menilai rasionalkah tindakan Maisara sebentar tadi. Kenangan bersama Ashraf selama enam bulan yang cukup singkat itu terlayar semula di ingatan. Gambar-gambar anak itu kurenung lagi buat kesekian kalinya. Wajah polos Ashraf seakan-akan tidak mengerti derita yang sedang ditanggungnya. Sekiranya aku ialah Maisara, dan terpaksa membuat pilihan sepertinya, aku takkan tega membuang Ashraf pergi dari hidupku. Nampaknya Maisara bakal mengikut jejak langkah Huda dan Sarah, dengan alasan tidak mampu lagi hendak menanggung anak angkat masing-masing. Padahal dahulu merekalah yang beriya-iya hendak mengikuti program itu.

Saiful datang menghampiriku sambil menayangkan sehelai kertas. Lantas dia mengambil tempat di sisiku.

“Saya ada berita penting untuk awak, Nadia. Dan saya agak mesti awak suka.”

Aku mengangkat kening tanda ingin tahu. Saiful tersenyum lantas menyerahkan kertas itu padaku.

“ Nadia boleh jumpa Ashraf di Palestin. “

Aku terpempan. Tidak percaya dengan kenyataan Saiful sebentar tadi, spontan aku menggelengkan kepala.

“Awak jangan main-main Saiful. Sedangkan dalam pasport antarabangsa pun sudah diberi amaran untuk tidak pergi ke Israel.”

Saiful senyum. Namun kali ini aku langsung tidak terpesona dengan senyumannya. Sekali lagi dia mengunjukkan kertas yang dipegangnya sedari tadi.

“Bacalah. ” ujarnya.

Kertas itu bertukar tangan. Aku meneliti setiap baris dan keterangan dalam helaian yang nyata merupakan salinan dari sebuah laman web itu. Takaful For Child Welfare. Berkerut keningku.

Melihatkan riak wajahku yang agak kebingungan, Saiful membuka mulut.

“Program pengambilan anak angkat Palestin ini mendapat sambutan ramai warga Malaysia, tak kira orang persendirian atau agensi dan pertubuhan. Memandangkan ramai yang menunjukkan keprihatinan terhadap anak-anak yatim ini, pihak penganjur program ini telah mendapat keizinan dari kerajaan bagi mengadakan lawatan yang membolehkan penaja setiap anak yatim ini bertemu anak-anak yatim bawah jagaan masing-masing. Sebenarnya mereka telah lama mencadangkan dan berusaha agar kita mendapat peluang untuk bertemu dengan anak-anak angkat kita, cuma baru sekarang mendapat keizinan kerajaan. Kita akan diberikan pasport pelepasan untuk ke Palestin dan pergi bersama sekumpulan sukarelawan Misi Keamanan Gaza, jadi soal keselamatan, insyaAllah terjaga. Kita akan bertolak ke Mesir menggunakan kapal terbang dan meneruskan perjalanan menggunakan kapal melalui Laut Mediterranean. Begitu juga bila balik nanti. Lawatan itu cuma tiga hari, dan kita akan pulang lebih awal daripada sukarelawan-sukarelawan itu. Kita tidak boleh lama-lama di sana sebab dikhuatiri apa-apa berlaku, sebab keadaan belum lagi aman sepenuhnya. “ Saiful terhenti memberi penerangan tatkala tersedar wajahku semakin muram.

“Kenapa? Nadia tak rasa gembira ke?”

Aku sekadar menggeleng. Jeda sebentar. Saiful masih menanti jawapanku.

Seketika aku melepaskan nafas berat. “Tiket kapal terbang kita kena beli sendiri kan?”

Saiful memetik jari. Aku terkejut melihat reaksinya yang tidak disangka-sangka. Bagaikan dia sudah menjangka kata-kataku itu.

“Soal tiket Nadia tak usah risau. Saya belanja!” Saiful tersengih-sengih macam kerang busuk. Aku terlongo.

“Biar betul? Ingat tiket tu seringgit je ke? Matilah saya nak bayar balik nanti…” Aku menarik muka masam.

“Ala… tak perlu bayar la. Kita kan kawan. Kawan takkan berkira dengan kawan…”

Sekalipun tindakan Saiful membuatkan aku rasa terbeban sedikit, namun membayangkan Ashraf berada di hadapan mata, hatiku berbunga riang. Spontan aku mengangguk.

Dua bulan.

Terasa panjang jarak masa dua bulan itu. Tambahan pula peperiksaan semester sudah pun berlalu jadi tidak banyak yang ku lakukan sepanjang tempoh itu, sekadar menguruskan hal-hal berkaitan lawatan ke Palestin nanti. Aku sengaja mengambil kelas Bahasa Arab ‘segera’ setiap hujung minggu bagi memudahkan interaksi dengan Ashraf nanti. Manalah tahu, dia tidak tahu berkomunikasi dengan Bahasa Inggeris.

Dua hari sebelum lawatan itu, aku dan Saiful menghadiri sebuah taklimat berkenaan langkah keselamatan dan perancangan lawatan yang akan kami dilaksanakan di sana nanti. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kerana tidak semua anak-anak yatim itu ditempatkan di pusat penjagaan kanak-kanak yang sama. Aku terkejut tatkala melihat senarai nama anak-anak yatim dan pusat penjagaan di mana mereka ditempatkan. Hanya tiga orang anak yatim, termasuk Ashraf, yang ditempatkan di Rumah WildanurRahmah, yang letaknya agak jauh dari pusat jagaan lain. Saiful kelihatan sedikit terganggu tatkala aku memberitahunya berkenaan itu.

“Tak apa…ahli rombongan ke sana nanti ramai…dalam 20 orang.” Aku meyakinkan Saiful. Dia hanya diam.

Dan kini aku sedang berada dalam kapal yang akan membawaku ke Gaza, bersama-sama dengan sukarelawan-sukarelawan Misi Keamanan Gaza. Syukur Alhamdulillah sepanjang perjalanan tiada aral melintang. Kami disambut dengan puluhan tentera Israel yang lengkap bersenjata di dek pelabuhan. Kecut perutku ketika pemeriksaan dilakukan. Namun Saiful yang sentiasa berada di sisiku meyakinkan bahawa mereka telah diberi peringatan agar tidak menyentuh hatta menyakiti ahli-ahli rombongan terutamanya perempuan. Lantas hanya alat pengesan logam yang melintasi tubuhku. Aku mencerlungkan pandangan pada salah seorang askar yang berkawal di situ. Di sebalik cermin mata hitamnya, mungkin dia pun membalas pandanganku; tapi aku tidak kisah. Entah kenapa hatiku rasa puas dengan tindakan itu.

Kami ditempatkan di sebuah hotel yang kukira mungkin antara bangunan yang terselamat daripada muntahan peluru dan bom peperangan. Hotel itu sederhana sahaja, dan aku agak terkejut kerana ia masih beroperasi.

Aku menjenguk ke luar tingkap. Beberapa tubuh berpakaian biru gelap kelihatan sedang berkawal di luar hotel. Seusai meletakkan beg tadi, hatiku langsung gusar. Tidak terasa penat mengharungi laut selama dua hari. Aku khuatir kalau-kalau tatkala aku sedang berehat, terjadi rusuhan di luar. Mungkin juga pada masa yang sama, beberapa peluru dan bom disasarkan kea rah hotel tempat kami menginap kini. Nauzubillah, aku mengurut-urut dada. Minta dijauhkan dari musibah, Ya Allah. Sekurang-kurangnya berilah aku peluang menemui Ashraf waima sekali.

Pintu bilik diketuk. Naini, teman sebilikku pantas membuka daun pintu. Aku menoleh.

“Cik Nadia? Cik Naini?” Gadis yang kukira baru memasuki usia 20-an meneliti kertas di tangannya sambil memandang wajah kami berdua silih berganti. Aku mengatur langkah menuju ke arahnya. Mujur tudung masih di kepala, kerana setelah itu tiba-tiba seorang lelaki muncul dari belakangnya.

“Baiklah, siapa yang pergi ke Rumah WildanurRahmah?”

Lantas aku mengambil beg tangan seraya mengangguk. Gadis itu pun menanda sesuatu pada kertas yang dipegangnya. Aku pantas membuntuti lelaki itu, menuruni tangga, keluar hotel dan masuk ke dalam van. Sudah ada dua orang lelaki dan dua orang perempuan memakai ves di dalam perut van. Mereka kelihatan sedikit terkejut melihat penampilanku.

“Cepat masuk. Kita cuma ada dua jam untuk sampai ke sana. Kalau lambat alamatnya tersangkut di tengah-tengah ibu kota. “

Suara pemandu kedengaran sedikit menggertak. Aku cepat-cepat masuk dan menutup pintu van. Memang benar, kalau kami tersangkut di tengah-tengah ibu kota Gaza, kemungkinan terdedah kepada serangan tentera zionis sangat tinggi. Awal-awal lagi kami sudah diberi peringatan oleh ketua rombongan, Tuan Hj Hashim bahawa kawasan tengah-tengah ibu kota memang sangat terdedah kepada bahaya serangan Israel. Justeru itu, kami perlu cepat-cepat melalui lebuh raya sebelum sekatan dijalankan pada waktu tengahari.

Tiba-tiba bahuku dicuit dari belakang.

“Adik tak pakai ves?” Aku memandang sejenak tanda nama yang tergantung di lehernya. Kamariah.

Aku menggeleng. “Lupa.” Jawabku ringkas tanpa menghiraukan riak keresahan di wajahnya.

“Tapi dik, kita mesti pakai ves itu setiap kali lawatan. Manalah tahu kalau-kalau tiba-tiba ada sekatan, sekurang-kurangnya adik dapat yakinkan adik datang ke sini sebagai pelawat.” Lelaki bernama Zamri menyahut dari kerusi belakang.

Sejenak aku tergamam. Ah, tak ada apa-apa akan berlaku. Aku ada pas pelawat, desis hatiku. Cuba menenangkan jiwa yang mula kacau. Ves itu cuma sekadar pakaian.

Dari kejauhan kulihat papan tanda Rumah WildanurRahmah yang ditulis dalam Bahasa Arab. Debaran mula menghentak dada. Beberapa orang kanak-kanak sedang berdiri di laman pusat jagaan itu bersama tiga orang dewasa. Kedatangan kami disambut ala kadar dengan salam dan pelukan. Terasa kehangat ukhwah sesama Islam. Mereka melayan kami bagaikan keluarga sendiri padahal ini kali pertama mereka melihat kami.

Aku meneliti wajah kanak-kanak itu satu persatu. Tiada.

Seorang wanita mendekatiku. Melihat wajahku yang kebingungan, dia bertanya.

“Who are you looking for?” Pelat Arabnya masih lekat. Lantas aku mengeluarkan gambar Ashraf dari beg tanganku dan mengunjukkannya pada wanita itu. Sebentar dia bertanyakan namaku.

“Nadia? “ Senyumnya mekar. “Ismi Khadeeja. Ashraf fil mitbakh,” Dia menuding jari ke arah satu sudut di rumah itu. “Lau samah. I go get him.” Dia hilang dari pandanganku menuju kea rah yang ditudingnya tadi.

Aku menghenyakkan punggung di atas kusyen. Sedikit kepuk bantal terhambur keluar. Hidungku terasa gatal.

“Achhoo!!”

Alhamdulillah…sambil memejamkan mata aku menggosok-gosok hidung yang terasa berair. Sebaik saja ku membuka mata, pandanganku tertancap pada sesusuk tubuh di hadapanku. Ashraf!

Namun seketika itu aku tergamam. Ashraf berkerusi roda. Lumpuh?

Namun kekagetanku hilang saat terpandangkan wajah Ashraf yang ceria. Pantas ku ukir senyuman termanis. Putih merah kulitnya, lebih manis dari dalam gambar yang sering ku tatap sebelum ini. Meskipun tercalit duka di wajahnya namun sedikit pun dia tidak menunjukkan rasa terasing terhadapku. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam.

Ashraf lantas memelukku.

Aku terkesima. Terasa hangat tubir mataku. Ashraf mengangkat pandangan dan merenungku. Betapa hatiku terharu akan penerimaannya terhadap orang asing ini. Wajahnya polos, jelas menunjukkan ketelusan wajah seorang anak kecil yang tidak mengerti musibah yang menimpanya. Aku mengusap ubun-ubunnya. Hatiku terasa senang sekali.

Tiba-tiba Ashraf mengeluarkan sebuah buku dan mula menulis sesuatu. Sketchbook itu diangkat dan ditunjukkan padaku. Sebelah lagi tangannya menunjuk ke dada.

‘Ashraf Naser el-Din.’

Kemudian dia mengunjukkan telinga dan bibirnya dengan jari telunjuk seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku terpempan namun sedaya-upaya cuba ku tahan agar tidak terpamer di wajah.

Ashraf lumpuh. Ashraf bisu.

Subhanallah…betapa besarnya penderitaan yang ditanggung anak ini. Sudahlah Kau ambil ibu dan ayahnya, seluruh keluarganya hingga tinggal dia seorang sahaja di bumi ini Ya Allah, Kau jadikan dia cacat pula… Seketika aku bagai orang hilang iman.

Menyedari kata hatiku yang mula tersasar dari akidah, aku cepat-cepat mengusir pergi perasaan sedih dan kasihan terhadap Ashraf. Semua yang Allah tentukan ada hikmahnya. Jika tidak keluarganya meninggal, pasti dia tidak akan berada di sini. Pasti kami berdua tidak akan dipertemukan. Anak ini perlukan kasih sayang ibu dan perhatian ayah, namun seawal usia 7 tahun, nikmat itu sudah ditarik daripadanya. Dia pasti terkilan.

Ashraf menulis lagi. Bagi anak seusianya, aku kagum melihat tulisan tangannya yang agak kemas. Sekurang-kurangnya tidaklah susah hendak mengetahui apa yang dimahukannya. Seusai menulis dia mengangkat buku itu. Aku cuba membaca namun sukar untuk ku faham apa mahunya. Ashraf bertutur dengan mata pensilnya menggunakan bahasa Arab!

Melihatkan mataku terkebil-kebil tidak faham, Ashraf melukis pula. Mula-mula Ashraf lukis manusia lidi, satu panjang dan satu pendek, sedang berpimpin tangan. Aku cuba mentafsir.

“Ummuka wa abuka?” Manalah tahu dia hendak bercerita tentang ibu dan ayahnya yang telah tiada. Namun Ashraf sekadar menggeleng, lantas terus melukis. Kali ini dia melukis belukar pula dan di tepinya ada bangku panjang. Pada belukar itu ada banyak bunga. Apa maksud Ashraf?

Khadeeja melihat lukisan itu lantas mengangguk-angguk. Seketika riaknya berubah namun sekejap itu juga kembali manis. Ashraf menunjukkan lukisannya padaku dan menunjuk ke luar. Dia mendongak merenung Khadeeja yang kembali mengangguk padanya. Serta-merta anak itu memandangku sambil tersenyum simpul.

Khadeeja menarik tangan kananku dan meletakkannya pada pemegang kerusi roda.

“He wants you to bring him out. Walk near the trees.” Patah ayatnya kurang fasih namun aku mengerti.

Kini aku menolak kerusi roda Ashraf menuju ke luar. Perlahan. Cuba untuk memulakan perbualan namun lidahku kelu. Kekok pula.

Ashraf lalu berpusing menghadapku sebentar, dan tersenyum. Dia menebarkan tangannya ke langit dan memejamkan mata sambil menghirup udara dan melepaskannya dengan lega. Kemudian dia menunjuk ke arah sebuah bangku yang berdekatan dengan pokok kurma tua, mengisyaratkan agar aku berhenti di sana.

Wajahnya bersinar gembira. Redup matanya memandangku seolah-olah cuba menyampaikan satu perasaan yang aku sendiri tidak mengerti. Barangkali ingin mengucapkan rasa terima kasihnya padaku kerana sudi menerimanya. Tidak, Ashraf! Aku sudah cukup beruntung kerana dianugerahkan dia dalam hidupku. Sebentar aku teringatkan hadiah yang ku bawa untuknya di dalam beg tangan.

Ku keluarkan bungkusan dari beg tangan dan mengeluarkan isinya. Lantas ku sarungkan pada tubuhnya. Ashraf bangga menerima pemberianku. Dibelek-beleknya selimut tampung seribu yang ku jahit cantik-cantik dan ku kait kemas-kemas, khas untuknya. Aku bahagia. Berbaloi usahaku selama dua bulan menyiapkan selimut itu. Jenuh juga, tapi kugagahkan diri bersengkang mata untuk Ashraf. Sekilas aku terpandangkan baju panas yang membaluti tubuh kecilnya. Itu juga pemberianku lima bulan yang lalu.

Ashraf menghulurkan buku yang dipegangnya sedari tadi. Barangkali dia mahu aku membacanya. Lantas ku belek satu persatu helaian pada buku itu. Ada banyak lukisan Ashraf. Semuanya manusia lidi. Ada juga bekas-bekas kabur yang telah dipadam. Tiba-tiba Ashraf mengambil buku itu dan membuka halaman lain. Diserahkan semula buku itu padaku.

Seketika ubun-ubunku bagai disirami air dingin menyegarkan tatkala melihat apa yang ada pada halaman itu. Tertera namaku yang ditulis dalam sebentuk hati. Seorang perempuan bertudung sedang memimpin tangan seorang anak kecil. Aku membelek muka seterusnya. Ada lukisan seorang perempuan sedang duduk di sisi katil seorang kanak-kanak dan seolah-olah sedang mendodoikannya. Ashraf menunjuk perempuan itu dan kemudian menunjuk padaku. Kemudian jarinya dilarikan pada lukisan kanak-kanak itu dan menunjuk pula ke dadanya. Sungguh aku terharu. Aku mengerti apa yang dimahukan Ashraf.

Ashraf membuka mulut bagai ingin berkata, namun aku dapat menangkap gerak bibirnya, ‘Ummi’.

Saat itu juga lidahku terkunci. Di tubir mataku bergenang air jernih, hangat mengalir turun ke dagu. Betapa aku terharu dengan kasih anak ini. Aku bukan asing padanya. Melihat aku menangis, dia menggelabah tiba-tiba. Tanganku dicapai. Pandangannya bertanya.

Kukesat airmata dengan kekura tangan lantas tersenyum nipis. Aku tahu dia mungkin tertanya-tanya sebab ku menangis.

“Ana ummuka.” Kusilangkan tangan ke dada. “Hubbun alaik ya Ashraf.”

Sinar matanya makin ceria. Demi Allah, aku ikhlas menjaga anak ini, ikhlas menyayanginya Ya Allah. Sepanjang pagi itu aku berbual dengan Ashraf di bangku itu. Jika ada kata-katanya yang aku tidak faham, dia akan melukisnya dan jika ada kata-kataku yang dia tidak faham, aku cuba menggayakannya dengan gerak tubuh. Kadang-kadang ada telatahku yang menggeletek hatinya hingga dia tertawa. Aku pula terhibur dengan dia yang ‘becok’ bercerita itu ini.

Ashraf mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sekeping gambar. Sekeping gambarku yang diberikan pihak penganjur kepadanya. Barangkali sering dibawanya ke mana-mana, kerana aku melihat sisinya yang sedikit terkopek. Aku terharu. Sedangkan aku mendapat banyak gambarnya dan dia cuma ada sehelai saja buat mengenali diriku. Tak adil betul.

Angin bertiup sedikit kencang. Nampaknya cuaca mula sejuk. Tapi matahari masih bersinar di langit yang redup. Aku harus membawa Ashraf masuk ke dalam rumah semula. Kalau tidak nanti dia demam. Sekarang kan musim sejuk. Walaupun berbaju panas dan berselimut, aku khuatir akan kesihatannnya.

Aku mengajak Ashraf untuk masuk ke dalam rumah namun dia enggan berganjak. Kutolak kerusi rodanya perlahan namun cepat-cepat dipegangnya roda, mengisyaratkan agar aku tidak membantunya. Dia memusingkan roda lalu menolaknya cepat-cepat. Barangkali dia ingin bersiar-siar lagi.

“Ashraf!” Aku cuba menghalangnya dari pergi menjauhi rumah. Bahaya. Kalau-kalau bertemu dengan tentera nanti, nahas!

Sangkaanku ternyata benar. Sekumpulan tentera berbaju hijau tiba-tiba datang dengan jip. Aku menoleh ke arah Ashraf. Hilang.

Tiba-tiba kedengaran suara lelaki keriuhan. Aku memandang jip tadi dan terkejut bukan kepalang tatkala melihat Ashraf terlentang di jalan raya. Kerusi rodanya terbalik. Bukunya terpelanting dan tertelangkup di atas jalan. Beberapa orang tentera keluar dari jip itu dan mendekati Ashraf.

Aku berlari menuju ke arahnya dan cepat-cepat mengangkat Ashraf. Namun setelah itu baru ku sedar, sebenarnya tentera-tentera itu tadi sedang mengelilingiku dan menghadang laluan. Zionis laknatullah! Mereka tersenyum sinis memandangku dan beberapa orang mengacukan rifle padaku. Beberapa orang lagi melihatku dari atas ke bawah seolah-olah menelanjangiku dengan pandangan sambil tersenyum miang.

Aku kaget. Situasi ini tidak pernah ku hadapi sebelum ini. Terasa seluruh sendi dan uratku kebas dan lumpuh, sama seperti Ashraf.

Tiba-tiba aku teringatkan pas pelawat di dalam beg tangan. Sambil memikul Ashraf, aku meraba-raba mencari pas di dalam beg tangan. Tiada. Aku menjenguk ke dalam beg tangan itu, cuba mencari-cari pas. Kalau pas itu ada, mereka tidak ada hak untuk mengapa-apakan aku dan Ashraf. Itu kata Saiful semalam.

Tapi kini pas itu tiada. Tambahan lagi aku tidak memakai ves yang tertera nama ‘Malaysia’. Sebentar kemudian aku teringat kembali. Pas itu ada di dalam ves!

Alamak…

Salah seorang dari mereka merampas beg tanganku dan mengeluarkan semua barang yang ada di dalamnya. Telefon bimbit, beg duit, bedak muka dan sebilah pisau lipat berguguran jatuh ke jalan raya. Tentera itu mengambil pisau lipat itu dan memandangku dengan pandangan mencerlung.

“Is this your weapon?” tanyanya.

Ya, aku membawa pisau itu kerana takut apa-apa terjadi. Tapi sekarang, pisau itu tiada di tanganku, bagaimana aku hendak mempertahankan diri? Aku memberanikan diri membalas pandangannya. Macam pernah kulihat wajah ini….

Tiba-tiba Ashraf meronta-ronta lalu terjatuh dari rangkulanku. Aku terkejut. Dia mengengsot-engsot menuju ke arah tentera itu, cuba mencapai pisau lipatku yang dipegangnya. Suaranya tersekat-sekat seakan-akan merayu.

Aku membongkok cuba mengangkat Ashraf semula namun tiba-tiba tanganku dipegang dan direnggut kasar. Aku terkejut dan spontan cuba meronta. Namun telingaku menangkap suara Ashraf mengaduh. Aku menoleh dan menjerit ngeri melihatkan Ashraf ditendang-ditendang kasar tanpa simpati . Sekuat hati aku cuba meronta ingin melepaskan diri, tidak sanggup melihat Ashraf diperlakukan begitu. Dasar binatang! Aku mula menyumpah di dalam hati sambil cuba menendang dan menarik-narik tanganku minta dilepaskan.

Ashraf terus ditendang dan dipijak-pijak. Berkeriut tubuhnya menahan sakit. Aku terasa ingin menangis tatkala melihat darah merah pekat mengalir dari mulutnya. Lebam-lebam dan luka mula kelihatan pada wajahnya.

“Ashraf!” jeritku lantang lalu menggigit tangan yang mencengkamku sekuat hati. Genggaman tanganku dilepaskan. Jeritan lelaki itu langsung tidak ku hirau, lantas aku terus menerpa ke arah Ashraf dan melindunginya dengan tubuhku. Baru beberapa sepakan ku terima tiba-tiba kedengaran dentuman kuat dari arah Rumah WildanurRahmah.

Aku tidak berani mengangkat muka. Kupeluk Ashraf yang lemah dan tak berdaya. Darah di bibirnya ku kesat dengan lengan baju. Tanpa sedar aku merintih dan tangisanku mula berlagu.

Tentera yang tadinya mengelilingi kami mula berlari ke sana ke mari. Baru ku tersedar Rumah WildanurRahmah baru saja dibom dari udara. Bagai terhenti denyut jantungku melihat keadaan rumah yang terbakar dan hancur berkecai. Terlintas di ruang mata wajah Khadeeja yang tersenyum manis, anak-anak yatim yang tadinya leka bermain sesama mereka, dan semua penaja yang datang bersamaku ke sini pagi tadi. Masya Allah!

Sekelip mata saja semua berlaku. Riuh suara menggertak-gertak berani seiring dengan laungan perang bergema di udara. Peluru-peluru mula berterbangan sedangkan aku masih terlongo di atas jalan raya, sambil memangku Ashraf yang sudah separuh nyawa. Akalku mati. Terasa rohku melayang keluar dan hilang entah ke mana, pergi bersama Khadeeja dan anak-anak yatim, Kak Kamariah dan Abang Zamri serta semua yang telah hancur berkecai bersama rumah yang dibom itu tadi. Jantungku berdegup tidak menentu. Menggeletar tubuhku melihat dahsyatnya panorama di depan mata. Airmataku makin deras membanjiri pipi. Ya Allah! Aku takut!!!

Tiba-tiba terasa tangan Ashraf menyentuh tudungku yang sudah comot dicemari darahnya. Nafasnya tersekat-sekat. Bibirnya bergerak-gerak perlahan tidak henti-henti menyebut ‘Ummi…ummi…’ Tangan kanannya dilunjurkan cuba menggapai bukunya yang sedikit jauh, lantas kucapai dan kuberikan padanya. Ashraf menarik keluar gambarku yang terselit di celah-celah lembaran buku itu dan menekapkannya ke dada. Tangan kirinya menggenggam pisau lipatku dan perlahan dihulurkan padaku. Kuambil pisau itu dan kubaling jauh-jauh lantas ku peluk Ashraf dan kucium dahinya bertalu-talu. Jangan Ashraf…jangan pergi dulu….jangan….jangan tinggalkan ummi…

Dapat kurasa degup jantung Ashraf yang semakin laju. Nafasnya kian lemah dan tersekat-sekat. Kuleraikan pelukan dan pandang wajah Ashraf puas-puas, tidak percaya bahawa kini anak itu sudah dipenghujung hayatnya. Ashraf menggerak-gerakkan bibirnya.

‘Syukran…’ pucat bibirnya cuba ‘menyebut’ perkataan itu. Sekali hembus saja, Ashraf sudah pergi meninggalkanku.

“Nadia!!!! Nadia!!!!!!!!” Sayup-sayup kedengaran suara di kejauhan. Tapi jiwaku bagaikan melayang pergi. Aku terdiam merenung sekujur tubuh yang kaku terkulai di pangkuanku. Hatiku dihentak-hentak rasa tidak percaya. Tak mungkin sekejap mata saja…tak mungkin sesingkat itu pertemuan kami Ya Allah!

Aku mengangkat wajah. Sekumpulan polis berbaju biru mula memenuhi tempat itu dan menghalau kumpulan pengganas dan tentera zionis yang sedari tadi berbalas tembakan di situ. Sekali lagi pertempuran tiga pihak bermula, kali ini lebih dahsyat. Tiba-tiba aku terlihat sesusuk tubuh berlari menghampiriku.

“Nadia, kita kena lari dari sini. Tempat ni bahaya!”

Aku enggan berganjak dari tempatku. Kurenung Saiful dengan pandangan hiba, cuba memberitahunya bahawa Ashraf telah pergi…anakku telah pergi…Ashraf telah mati!!! Tubuh kecil yang kaku itu sekali lagi kupeluk erat. Aku menggeleng-geleng.

Saiful tersentak melihat keadaanku yang hilang akal.

“Kita kena pergi Nadia! Sini, saya bawa Ashraf. Tapi awak kena lari. Mari.”

Saiful mengendong mayat Ashraf dan memimpin tanganku. “Kita kena lari!” ulangnya.

Kami cuba menghindari muntahan peluru yang melayang entah dari mana sambil berlari sekuat hati keluar dari kawasan itu. Melihatkan tubuh Ashraf yang tidak bernyawa lagi, tersengguk-sengguk di bahu Saiful membuatkan aku tersedar. Tatkala itulah aku mula menerima kenyataan bahawa anak yang ku ‘jaga’ selama kurang dari setahun itu telah meninggal dunia. Terasa ingin menangis lagi namun aku sudah kehabisan airmata.

Kami berlari ke arah sekumpulan polis PBB yang berlindung di seberang jalan. Kami dilindungi sambil diiring menuju ke sebuah jip. Saiful pantas meletakkan mayat Ashraf di atas kerusi dan aku cepat-cepat duduk di sebelahnya. Kami berlalu meninggalkan tempat itu sebaik saja Saiful masuk ke dalam perut jip.

Aku memandang Ashraf yang terbujur kaku. Kuletakkan kepalanya di pehaku dan ku usap pipinya. Sayangku tumpah pada anak itu. Pertemuan kita cukup singkat tapi cukup bermakna. Kugenggam tangannya dan ku kucup lagi dahinya.

Pandanganku mula berbinar-binar. Kelam.

6 TAHUN KEMUDIAN…

Sorotan berita jam 8 menarik perhatianku. Langsung tumpuanku pada Ashraf teralih. Saiful muncul disebelah sambil menarik nafas lega lantas mengunjukkan padaku naskhah suratkhabar yang baru habis dibacanya pagi ini.

“Alhamdulillah. Sekarang tentera PBB sedang meruntuhkan tembok dan markas-markas Israel. Terkejut juga ya, ingatkan dulu PBB ni jahat, bersekongkol dengan Israel untuk menakluk Palestin. Rupanya tidak. Khabar angin je agaknya.” Ulasnya panjang lebar, sambil menudingkan jari pada muka depan berita yang menghiasi dada akhbar Utusan Malaysia.

‘Palestin kembali milik Palestin: Israel mengaku kalah’

Aku tersenyum membaca petikan berita itu. Sama seperti ulasan berita pagi ini. Ashraf merengek-rengek di kakiku.

Saiful tunduk dan mengagah-agah Ashraf. Terkekek dia ketawa. “Anak papa dah laju merangkak ye sekarang?” dicium pipi Ashraf yang tembam bertalu-talu.

Aku melangkah ke bilik, meninggalkan Ashraf dan Saiful di ruang tamu. Beberapa buah potret wajah Ashraf Naser el-Din terpamer di atas meja. Aku mendekati sekeping gambar yang berbingkai. Wajahnya tersenyum bahagia. Terbayang-bayang di ruang mataku ketika mula-mula Ashraf bertemu denganku. Hatiku dipagut hiba. Selain gambar dan kenangan, tiada lagi yang Ashraf tinggalkan buatku. Lama ku tatap gambar itu. Terkenangkan peristiwa yang meragut kegembiraan pertemuan kami berdua.

Aku pengsan setelah sampai ke hotel tempat kami menginap. Petang itu juga kami semua diarahkan pulang ke Mesir dan seterusnya menaiki kapal terbang pulang ke Malaysia. Dan setelah sampai ke Malaysia barulah aku diberitahu bahawa hanya aku seorang sahaja yang terselamat dalam nahas pengeboman Rumah WildanurRahmah. Hatiku memanjatkan kesyukuran kerana hayatku masih ada. Terima kasih pada Saiful.

Ketika aku berada di Rumah WildanurRahmah, ketua rombongan yang bersama mereka telah menerima panggilan dari Kak Kamariah tentang kedatangan beberapa orang tentera Israel ke tempat kami. Setelah itu kedengaran bunyi letupan dan talian pun terputus. Serta-merta Saiful berkeras hendak mengikut tentera PBB itu. Rupa-rupanya dia tidak senang duduk memikirkan aku. Panggilan telefon itu membuatkan dia tidak berfikir dua kali dan terus masuk ke dalam jip polis.

Ashraf pula?

Serta-merta senyum di bibirku mati. Ashraf telah meninggal setelah dibelasah beberapa orang tentera Israel. Semata-mata hendak mendapatkan kembali pisau lipatku.

Kuusap wajahnya yang tersenyum kaku di balik kaca bingkai gambar. Terkenang kembali betapa sombongnya aku suatu ketika dahulu. Memandang anak yatim Palestin sebelah mata sahaja. Muncul Ashraf dalam hidupku, laksana menerima permata termahal. Sekalipun hanya sekali bertemu, namun kasih kami tersimpul kukuh sekalipun terjalin dari jarak jauh.

“Teringatkan Ashraf?” Entah bila Saiful muncul di sisiku, mendukung Ashraf yang menghulurkan tangan minta diambil.

Hari ini hari jadimu, Ashraf. Hari ini juga bumi kelahiranmu kembali menjadi hak warganya semula. Meskipun bukan ummi yang bagi hadiah ini pada Ashraf, dan tidak sempat Ashraf menikmatinya tapi ummi tahu, Ashraf pasti bahagia mengetahui Palestin tidak berkocak lagi. Ashraf pasti bahagia dalam kalangan wildan di Syurga. Dan yang pasti sekalipun jasad Ashraf sudah tiada, ummi tahu, Ashraf akan kekal hidup dalam hati ummi wahai permata hatiku. InsyaAllah…
Share:

1 comment:

  1. Nak tanya..nak amik anak angkat palestin camner?

    ReplyDelete

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....