Sedetik lebih
Sarah datang lagi ke rumah itu. Sudah beberapa minggu dia tidak pulang. Hari ini dia perlu datang kerana Encik Hisham menyuruhnya datang. Dengan hati yang walang dan bimbang, Sarah mengatur langkah perlahan-lahan ke muka pintu. Dengan lafaz 'Bismillah', Sarah menolak daun pintu dan masuk.
Buat seketika dia berdiri tertegun di situ. Mindanya kosong tiba-tiba. Sedaya upaya Sarah kumpulkan kekuatan, dan mengatur langkah berat menuju ke dapur.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi mesin jahit mama.
Sarah tersentak. Namun kakinya terus melangkah menuju ke ruang dapur. Di pertengahan laluan, dia menjenguk ke bilik jahit mama. Mama sedang tekun menjahit baju kurung. Mungkin tempahan Mak Cik Temah. Mak Cik Temah suka meminta ibu menjahitkan bajunya. Sarah tersenyum melihat mama terkulat-kulat cuba memasukkan benang menembusi mata jarum. Mata mama sudah tidak terang, sudah kabur. Dahulu mama suka panggil nama Sarah dari bilik jahit semata-mata mahu Sarah menolongnya membuat itu. Sarah cuba mendekati mama, namun kemudian mama tiba-tiba bangun dari duduknya dan melihat jarum jam di dinding.
Sarah menyoroti pandangan mama. Pukul 1.15 petang. Sarah lihat mama mengikat rambutnya dan menyinsing lengan bajunya. Kemudian mama terpandangkan Sarah yang berdiri tegak di muka pintu bilik jahit. Mama terkejut, Sarah juga terkejut. Namun mama cuma tersenyum dan melangkah ke bilik air. Sarah perhatikan gerak-geri ibunya dari muka pintu bilik jahit itu. Tidak lama kemudian mama keluar dengan wajah yang basah. Mama berhenti di depan bilik air untuk membaca doa wudhu'. Kemudian mama masuk ke bilik, dan Sarah membuntuti mama. Mama mengambil sejadah dan telekung dari penyidai tuala. Mama pakai telekung dan mama sembahyang Zuhur.
Sarah perhati mama dengan mata berkaca-kaca. Setiap perlakuan mama - rukuk, sujud, iktidal, duduk tahiyyat akhir sampai memberi salam - Sarah perhati sambil mulutnya terkumat-kamit mengucap syukur.
Sarah tiba-tiba terdengar bunyi permainan video dari bilik Aiman. Bilik Aiman di sebelah bilik mama dan ayah. Sarah mengerling mama yang sedang khusyuk membaca doa perlahan-lahan dengan merujuk buku panduan doa yang dipegangnya dengan tangan kiri. Sarah tinggalkan mama dan bergerak menuju ke bilik Aiman. Daun pintu diselak. Aiman sedang ligat menekan-nekan kekunci pada joystick. Matanya terkunci pada skrin komputer.
"Aiman, game baru ke?" Sarah menegur. Acuh tidak acuh Aiman memusingkan kepalanya, memandang Sarah yang berdiri sambil memeluk tubuh di pintu biliknya. Aiman tersentak, namun sebaik sahaja dia memandang semula ke skrin komputer, permainan sudah pun tamat. Aiman mendengus tanda tidak puas hati, namun kemudian tertawa kecil dan memandang Sarah. Selalunya Aiman akan menjerit tidak puas hati bila Sarah mengacaunya bermain. Tapi kali ini tidak. Sarah terkejut. Aiman malah tersenyum lucu melihatnya. Adiknya itu bangun dari duduk dan berdiri menghadapnya. Sekali lagi tersenyum, melihat riak wajah Sarah yang tidak percaya. Sarah mendongak memandang adiknya yang agak tinggi. Matanya terpandangkan jam di dinding belakang Aiman. Sudah pukul 7 malam. Cepatnya masa berlalu di rumah ini.
Tiba-tiba kedengaran suara ayah memanggil Aiman dari luar bilik. Pantas Sarah berpusing mencari kelibat ayah. Ayah sedang menyapu-nyapu kopiah dan meletakkannya ke kepala. Kemudian mengambil kunci kereta yang tersangkut di dinding. Lidah Sarah terkunci. Bibirnya menggeletar.
Kemudian kelihatan Kak Long yang sudah siap bertelekung keluar dari biliknya. Sekali lagi Sarah terkedu. Kak Long...Kak Long yang dahulu pantang ditegur apabila keluar dari rumah malam-malam. Kak Long yang dahulu paling tidak suka memakai tudung. Kak Long yang dahulu cukup benci apabila diajak solat berjemaah di surau, kini sedang bersiap untuk ke surau. Ibu juga keluar dari bilik dengan telekung di tangan, dan Aiman sudah berdiri di sampingnya dengan kopiah di kepala.
Berjuraian air mata Sarah melihat ayah, mama, Kak Long dan Aiman di hadapan matanya. Keluarganya yang jauh berbeza dari mereka, sebulan yang lalu. Mama yang sangat tekun dengan kerjanya sampai tidak sempat menunaikan solat; Ayah yang sambil lewa dengan ibadah dan tanggungjawabnya pada keluarga; Aiman yang terlalu leka dengan hiburan; dan Kak Long yang pantang ditegur. Sarah menekup mulut dan menangis semahu-mahunya.
Ayah, mama, Kak Long dan Aiman masih tegak berdiri di hadapannya. Muka mama berkeriut menahan sebak melihat wajah anaknya yang basah dengan airmata. Ayah memegang erat tangan isteri dan anaknya, setitis airmata mengalir menuruni lekuk pipinya yang berkedut. Kak Long dan Aiman merenung Sarah dengan pandangan sayu.
"SubhanAllah! Allahuakbar! Allahuakbar!...Allah..." Tiada kata seindah itu yang mampu Sarah suarakan. Hatinya sesak dengan perasaan gembira yang tidak terucap. Beberapa tahun perjuangannya mengembalikan keluarganya yang tersasar dari kehidupan Islam yang sebenar, kini membuahkan hasil. Alhamdulillah... semoga lembayung hidayah-Mu akan terus memayungi kami sekeluarga, Ya Allah...
Namun kegirangan Sarah tidak lama. Dengan langkah yang berat, ayah memimpin tangan isteri dan anak-anaknya keluar dari rumah itu. Berdiri di muka pintu, ayah berkalih ke belakang, melihat wajah Sarah yang keliru. Tanpa suara, ayah bagaikan mengucapkan sesuatu dari pandangan matanya.
"Terima kasih anakku. Terima kasih. Syukur alhamdulillah ayah kembali pada jalan-Nya sebelum terlambat. Hidup kami sudah tersasar selama ini. Ayah bersyukur pada Allah dianugerahkan anak yang sehebatmu Sarah. Sarah dah bantu ayah, mama, Kak Long dan Aiman untuk melihat kasih sayang-Nya. Sarah betul, pintu taubat Allah sentiasa terbuka. Cuma ayah yang terlalu mudah berputus asa.
Ayah halalkan makan minum Sarah. Ayah redha Sarah sebagai anak ayah. Mama, Kak Long dan Aiman juga. Kami minta maaf kerana tidak mampu berada di sisi Sarah selepas ini. Hidup Sarah masih panjang, insyaAllah. Sarah, doakan perjalanan kami di sana tenang dan selamat. Kami sayangkan Sarah. Selamat tinggal anakku. Terima kasih sekali lagi."
Perlahan-lahan tubuh ayah sirna. Kak Long dan Aiman juga. Sarah sempat melihat bayang resah pada wajah mama, namun kemudian mama tersenyum manis lagi. Perlahan-lahan mama menghilang diselimut cahaya terang.
"Ya Allah, Engkau kasihanilah mereka, sepertimana mereka memeliharaku semasa aku masih kecil."
Air matanya tumpah sekali lagi membasahi lantai rumahnya yang disalut debu. Sarah meraup mukanya berkali-kali dan menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri sendiri. Dengan hati yang masih berat, Sarah lontarkan pandangan ke segenap ruang rumah yang hanya tinggal rangka itu. Masih terkesan bau hangus pada perabot rumah yang sudah hancur dan hitam legam. Sarah pandang siling rumah yang tiada, cahaya mentari hangat memancar.
Sedari tadi Sarah dibayangi ilusi. Memori hari terakhir dia bersama keluarganya mengacau akalnya yang waras. Namun Sarah puas. Dia tidak membiarkan keluarganya tersasar hingga ke akhir hayat mereka.
"Ya Allah, kau kuatkanlah hati hamba-Mu yang rapuh ini Ya Rabbi.." ujarnya perlahan sambil menghembus nafas berat. Dia kembali mencari apa-apa yang masih terselamat dari dijilat api beberapa minggu yang lalu.
0 comments:
Post a Comment
Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....