Ditulis, dishare di Facebook oleh saya =) Spread the words. Moga ini mengetuk hati anda untuk melakukan refleksi hari ini. ^_^ Tajuk asal "Sehari aku terlalai.."
Aku menarik nafas berat. Semput seusai membaca Surah al-Kahfi 2 mukasurat. Aku membetulkan duduk dan menghela nafas sekali lagi.Kenapa hari ini terasa begitu berat?
Aku menarik tali merah yang tergantung di sisi Al-Quran , lalu menyisipkannya di muka surat seterusnya. Penatnya, jadi hari ini aku baca 3 mukasurat saja dulu. Ok, dah 2 mukasurat tinggal 1 saja lagi.
Betapa lamanya masa ku ambil untuk meneruskan semula pembacaanku. Beberapa saat terkial-kial, aku menutup kitab. Jari telunjuk ku selitkan di muka surat tadi. Aku menghela nafas lagi. Kenapa semput sangat ni?
Hari ini hari Jumaat. Baru beberapa minggu aku mula melatih diri untuk membaca Surah al-Kahfi setiap hari Jumaat pada setiap minggu, jika tiada aral melintang. Sunnah Rasulullah itu sedaya upaya dihidupkan. Ibadah Qiamullail sudah lama tidak mampu ku laksanakan, kesan badan yang semakin sihat dan tembun.
Sedang berehat, aku meninjau-ninjau jemaah lain yang sedang khusyuk dengan ibadah masing-masing. Ada yang duduk membaca al-Quran sepertiku. Ada yang beriktikaf.
Aku tiba-tiba terpanggil hendak mengira amalanku hari ini.
7.10 pagi.
Aku bingkas bangun setelah melihat jam di telefon bimbit. Dan perkataan yang pertama terbit dari mulutku hari ini ialah:"Aaaa!!! Kelas EDU 20 minit lagi!"
Kenapa tidak aku beristighfar dahulu kerana terlalai? Kenapa tidak aku sebut nama Allah, berterima kasih kepadaNya kerana memberikanku nyawa satu hari lagi?
Astaghfirullahaladzim....
Aku bersiap secepat mungkin sambil bernyanyi kecil bagi membuang gusar di hati.
Kenapa tidak aku berzikir mengingati Allah? Bukankah Allah Yang Maha Melapangkan Dada?
Semua yang ku lakukan lebih pantas daripada selalu, tanpa mengendahkan anggota kanan atau kiri yang mendahului pemakaian bajuku. Kemudian baru aku teringat sesuatu. Aku terlepas Subuh. Ya Rabbi....aku menepuk dahi. Takpelah, nanti qada', bisik hatiku tanpa sedikit pun rasa rugi waima bersalah.
Tidak terdetik penyesalan di hatiku meninggalkan fardhu wajib!
11.30 pagi.
Waktu kuliah baru tamat. Aku memanjangkan badan di kerusi, sedangkan aku sedar masih ada rakan sekuliah muslim yang belum meninggalkan kelas."Boringnya kuliah tadi. Hai...satu apa pun tak masuk, baik tak payah masuk kelas, kan?" kami sama-sama tergelak.
Betapa aku memandang remeh akan kewajipan menuntut ilmu. Malah tidak berterima kasih pada Allah kerana diberikan nikmat menuntut ilmu dalam suasana yang aman.
Kami sama-sama menuju ke kafeteria. Perut yang lapar minta diisi. Aku membeli makanan bagai tak ingat dunia. Selepas beberapa kali menyuap makanan, aku baru teringat sesuatu.
"Bismikallah humma fi awalahu wa akhiruhu." ujarku sambil tersengih. Walaupun hakikatnya sudah beberapa kali sendawa, aku masih terasa hendak makan lagi. Hendak membeli kuih lagi. Akhirnya sampai di bilik, aku merebahkan badan ke katil. Bila aku terjaga dari lena, sayup-sayup kedengaran azan di corong pembesar suara masjid. Entah azan Solat Zuhur atau Solat Jumaat, aku tak endah. Mataku kembali pejam.
Berhenti makan sebelum kenyang, kerana kenyang itulah yang mengundang badan untuk bermalas-malasan.
3.00 petang.
Sekali lagi aku terbangun dengan jeritan.
"Allah!!! Tak Zohor lagi!" lalu bingkas bangun mengambil wudhu'. Anggota wajib sahaja sudah memadai bagiku. Dan Solat Zuhur ku lakukan dengan cepat kerana hendak mengqada' solat Subuh yang terlepas pagi tadi. Dengan malas aku bangkit kali kedua untuk mengerjakan solat qada'.
Di mana keikhlasan hatiku untuk beribadah pada Allah?
4.45 petang.
Sudah lepas 30 minit setelah selesai azan Asar berkumandang. Namun aku masih di hadapan komputer. Sejam yang lepas aku sebenarnya sedang menghadap kertas tugasan. Headphone dipasang ke telinga. Aku membuka Media Player. Dua playlist tertera; nyanyian hati yang berisi alunan zikir dan lagu ketuhanan; dan Korean Songs. Sebentar cursor berlegar-legar antara keduanya, dan akhirnya aku mengklik playlist Korean Songs.
Apalah salahnya aku jadikan zikir itu halwa telinga?
Baru kini aku membuka headphone dan memandang jam dashboard. Allah, tadi dah azan rupanya. Aku tak dengar...
6.55 petang.
Aku bermalas-malasan di atas katil. Sebentar tadi beberapa orang rakanku mengajak berjogging, namun ku tolak dengan alasan malas. Nak pergi masjid ke tak, aku berkira-kira dalam hati. Malasnya bukan kepalang, nak mandi awal, kena cari baju, iron tudung..berjalan lagi. Jauhnya masjid tu...
Sedangkan aku yang sebenarnya menjarakkan diri dari pusat ilmu.
Akhirnya aku terima mesej dari sahabat yang mengatakan malam ini insyaAllah ada mesyuarat BADAR.
Hoh. Pulak dah. Makin laa aku malas.
Tapi merasakan mesyuarat ini penting, aku gagahkan diri untuk bangun bersiap. Tambahan pula sahabat yang menghantar mesej tadi sudah berada di dalam bilikku, menanti untuk berjalan sama ke masjid.
Kenapa niatku bukan untuk mengimarahkan masjid?
7.20 malam.
Aku leka membelek-belek telefon bimbit baru seorang sahabat. Hatiku kembang apabila dipuji handal bermain Angry Birds. Makin ligat jemariku menggesek-gesek touchscreen telefon itu.
8.10 malam.
Azan Isyak. Aku baru mengangkat muka dari permainan Angry Birds.
Kenapa tidak aku isi masa berharga itu dengan membaca al-Quran,atau sekurang-kurangnya beriktikaf?
Aku mengerdipkan mata beberapa kali. Sebak tiba-tiba, apabila mindaku mengenang kembali apa yang telah ku lakukan dalam masa 15 jam yang lalu. Rugi, Ya Allah aku telah membazirkan nikmat masa yang Kau berikan. Sedihnya, bila mengenang betapa sikit waktu aku luangkan untuk mengingati-Mu, itu pun tidak sepenuh hati. Ya Allah...betapa egonya aku Ya Allah...
Betapa egonya hamba Mu ini Ya Allah...
Mesej baru terpapar di kaca telefon. Mesyuarat malam ini dibatalkan. Aku tersenyum sambil mengesat air mata yang mengalir perlahan.
Aku buka Al-Quran semula.
kusyuk saya best...best nih..
ReplyDeletekusyuk sy bace..best ape
ReplyDelete