Sunday, September 2, 2012

Mini Pentomin "Masjid"

Salam alaykum =)

Aku dah lama tak menulis. Sekarang tiba-tiba rasa nak menceburi bidang baru, keluar dari dunia cerpen, sajak dan menulis skrip drama. Sekarang aku nak cuba tulis skrip pentomin pula. Ideanya sangat sinis, namun aku harap jangan dipandang sangat sudut negatifnya sebaliknya refleksi diri dan ingat kembali tanggungjawab kita sebagai muslim untuk mengimarahkan masjid-masjid kita.

Sebarang kesalahan saya dahului dengan memohon maaf. Terima karya saya yang tak seberapa ini. Kritikan dialu-alukan, terutamanya yang membina bukan menjatuhkan. Sekian.

WARNA INI UNTUK SKRIP TUKANG CERITA (NARRATOR)
Tulisan ini untuk penjelasan latar

Latar Tempat : Sebuah masjid. Terdapat beberapa buah masjid dalam skrip ini namun pengubahsuaian boleh dilakukan dengan hanya menggunakan sebuah prop masjid sahaja.

***********************

BABAK I
Keadaan di dalam masjid. Beberapa orang jemaah perempuan sedang duduk berteleku; ada yang membaca al-Quran, ada yang sedang menulis sesuatu pada buku-buku, ada yang membelek-belek buku-buku di rak dan kemudian menyusunnya kembali, ada juga yang duduk bersembang perlahan. Dua gadis baru selesai solat dan bersalam-salaman. 

INTAN : Malam ini ada apa?
NADIA : Entahlah. Rasanya ada latihan marhaban. 
INTAN : Marhaban? Wah, macam seronok. Jom pergi malam ni.
NADIA : (Menggeleng-geleng) Tak payahlah. Minggu lepas budak lelaki cakap tiada muslimah yang datang. Malam ni mesti tiada juga.
INTAN : Terbuka kan?
NADIA : Ya, tapi takkanlah kita berdua je nanti. Nak bermarhaban di tengah-tengah jemaah lelaki?
INTAN : (terdiam sejenak) Kenapa tiada yang datang?
NADIA : (angkat bahu) Bulan assignment agaknya.

Kedua-duanya berlalu pergi selepas siap melipat telekung masing-masing. 

BABAK II
"Masjid oh masjid. Berdirimu gah di tengah ibu kota, di tengah pekan, di tengah kampung. Tapi kau ibarat rongga; lebih sunyi dari gereja; lebih diam dari istana. 
Mana mereka yang berjanji di Loh Mahfuz untuk mengimarahkanmu?"

Beberapa orang duduk berkumpul di satu penjuru dengan seorang ustaz di hadapan mereka. Risau tercalit di wajahnya. 

USTAZ : Kenapa macam lebih sedikit dari minggu lepas?
FUAD : Ada yang sibuk ustaz. Biasalah tak lama lagi cuti, banyak kerja yang perlu disiapkan.
IRWAN : Man kata dia tak pergi sebab lagu minggu lepas susah katanya. Dan mesti lagu kali ini lebih susah.
USTAZ : (terkedu dan kelihatan terkilan.) Tak apa, kita teruskan dengan mana yang ada. 

Lagu marhaban dimainkan. Namun seorang demi seorang keluar dari jemaah sambil membaca buku marhaban dan ada yang kelihatan seolah-olah menerima panggilan kecemasan. Ustaz hanya menjeling.

"Kasihan engkau Masjid. Betapa ramai yang menjauhkan diri dari majlis agamamu. 
Karpetmu masih lembut bagai baru. Tiadakah yang bersujud di situ?
Mimbarmu berdebu. Apa tidak pernah dijalankan khutbah di situ?
Al-Quran tersusun kemas dan berbau baru. Tiadakah yang menyelak dan membacanya?
Masjid oh masjid. Syurga yang semakin dilupakan."

BABAK III
Kelihatan ruang sembahyang masjid yang lengang. Seorang lelaki masuk untuk menjalankan ibadah solat Zohor. Namun setelah azan dikumandangkan, hanya beberapa orang yang bertandang mengimarahkan jemaah.

LELAKI : (memandang dua tiga orang yang datang) Ini sahaja?
MAKMUM 1 : (angkat bahu)
MAKMUM 2 : Mungkin masih ramai yang berada di JomHeboh!
LELAKI : Azan tadi kedengaran kan?
MAKMUM 3 : Ya, jelas sekali pak.

Dengan wajah muram, lelaki tadi mula mengimamkan solat dengan hanya 3 makmum di belakangnya.

"Zaman semakin moden. Binaanmu juga semakin moden. Kau dihias cantik dengan mozek pelbagai warna, dengan khat diimport dari luar negara, dengan langsir lembut baldu, dengan sejadah berbau harum.
Namun hiasanmu yang terbaik ialah jemaah solat yang ramai, berzikir mengingati Allah dan berselawat pada Rasulullah; yang berjuang mendirikan agama Islam, yang belajar menegakkan syariah Islam, yang berkhidmat di jalan Islam.
Yang sering ingat bahawa engkau masjid, adalah rumah Allah."

BABAK IV
Kelihatan suasana masjid yang lengang. Beberapa orang belia memasuki kawasan masjid yang bermozek dengan menggunakan selipar dan alas kaki lain. Seorang tua yang sedang membersihkan bunga-bunga di laman terkejut lalu menegur mereka.

LELAKI TUA : (terkejut lalu bangun dari duduk. Gunting bunga di tangannya.) Nak, kenapa bawa kasut dan selipar masuk ke masjid?
BELIA 1 : Masuk ke masjid? Tidaklah pakcik. Di tandas itu tiada selipar disediakan. Jadi alang-alang kami bawa saja kasut dan selipar masuk ke dalam, untuk ambil wudhuk.
BELIA 2 : Bukannya kami bawa masuk sampai kotor karpet masjid pakcik.
LELAKI TUA : Tapi bukankah kawasan yang bermozek itu sebahagian dari masjid juga. Setiap hari dibersihkan orang.
BELIA 1 : Baguslah setiap hari dibersihkan orang. Lepas ni adalah yang bersihkan. (Berpaling dengan muka sakit hati)


BABAK V

"Engkau ada bagaikan tiada."

Suasana lengang di sebuah masjid sekolah. Seorang guru masuk ke masjid berseorangan dan keluar dari masjid berseorangan juga selepas solat. Dilihatnya anak-anak muridnya yang muslim hanya berjalan melintasi masjid itu.

BABAK VI
Perlahan-lahan pencahayaan masjid dimalapkan sepanjang tukang cerita berkisah selepas ini.

"Sedihnya hatimu wahai masjid. Engkau dibina kerana Allah, namun tidak ramai yang mendirikanmu kerana Allah. 
Engkau dicat dengan perhiasan memuji kebesaran Allah, namun tidak ramai yang beribadah di dalammu kerana Allah.
Hanya debu yang menyaluti engkau, masjid, syurga yang semakin dilupakan."

Kelihatan di kejauhan beberapa orang anak muda menghampiri masjid sambil melihat keadaan masjid yang lengang dan kotor serta berdebu. Sambil menggeleng-geleng mereka kelihatan berbincang sebentar kemudian ke belakang pentas semula. 

Mereka keluar tidak lama kemudian dengan membawa penyapu dan kain lap etc untuk membersihkan masjid. Perlahan-lahan lampu diterangkan semula. Anak muda yang membersihkan masjid tadi kembali ke belakang pentas.

Azan dilaung oleh salah seorang yang membersihkan masjid tadi. 

Perlahan-lahan orang ramai mula masuk ke dalam masjid dan memenuhi ruang masjid. Masing-masing berkemas untuk solat. Sambil solat didirikan, suara tukang cerita kedengaran. 

"Barangsiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT, nescaya didirikan baginya sebuah rumah di dalam syurga. Hadis riwayat al-Bukhari)"

Tamat.
Share:

0 comments:

Post a Comment

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....