Friday, September 12, 2014

Peluang


Banyak-banyak tukang, tukang apa yang paling kesian?

Tukang tengok. Tukang tepuk. Tukang sorak. Tukang dengki.

Apabila melihat orang lain berjaya.

Allah dah pesan, Dia ciptakan semua manusia punyai peluang. Yang merancang apa yang jadi pada diri manusia itu ialah dia sendiri, walaupun Dia yang tentukan ia bakal terjadi atau tidak. Tapi manusia boleh mengubah takdir. Kalau dia hendak berjaya, insyaAllah dia berjaya. Kalau tidak ada usaha mana nak berjaya, kan?

Ia seperti teringin nak makan aiskrim. Minta dengan ayah,
"Pak, nak aiskrim,"
"Pergi jual sayur sawi dulu. Pak dah bersihkan, ikat kemas-kemas dan letak dalam bakul. Ambil di dapur dan jual keliling kampung. Dapat duit nanti belilah aiskrim."

Anda yang tentukan jalan cerita ini.
A : "Baik pak." Lalu si anak berjual sawi keliling kampung. Dapat duit lebih dan penghargaan dan pujian dari orang kampung. "Rajin anak dia." Dan anak itu pun balik dengan sebatang aiskrim, duit yang lebih dan kepercayaan orang kampung.
B : "Baik pak." Ujar si anak setengah hati. Lalu dia berjual sawi. Lepas dua tiga buah rumah, yang dapat dijual cuma seikat, lalu si anak beralah dan pulang ke rumah. Walhal di hujung kampung ada orang yang hendak membeli sawi banyak-banyak buat masak gulai untuk sedekah ke masjid. Dan hasrat untuk membeli aiskrim dilupakan selama-lamanya.
C : "Tak apalah." Lalu si anak melupakan hasrat ingin memakan aisrkrim. Tapi esok dia bertanya lagi. Dan si ayah berpesan hal yang sama. Tapi si anak tetap malas dan cuba melupakan hasratnya hendak memakan aiskrim tapi keesokannya hal yang sama berulang. Hinggalah si ayah sudah tidak menawarkan sawi untuk dijual mahupun duit untuk aiskrim. Akhirnya si anak terdiam dengki melihat kanak-kanak lain memakan aiskrim yang sedap-sedap.
D : "Tak apalah." Lalu si anak melupakan hasrat ingin memakan aiskrim. Selama-lamanya.

Pastinya jalan A lebih enak sebagai penghujung cerita. Tapi bagaimana kalau peluang itu tidak datang semudah si ayah yang menyediakan sawi untuk dijual anaknya?

Bagaimana jika tiada sawi untuk dijual?

Saya merasakan hidup saya seperti itu. Peluang yang datang susah digapai, lalu peluang lain yang tidak kelihatan tidak tercapai, dan peluang yang dapat digalas setengah hati. Kemudian gusar melihat orang lain berjaya, memikirkan 'aku juga boleh mendapat itu.' Jika husnudzhon, memang itu bukan rezeki saya, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya, Tapi kemudian isi hati menebak: bagaimana kalau sekiranya Allah tahu engkau mampu lakukan tapi engkau enggan berusaha sepenuhnya, semaksimum kudratmu, dan engkau lepas sahaja peluang yang ada? Lalu hasilnya peluang lain yang bakal menyusul juga terjejas, maka rezekimu setakat itu sahaja. Benar, Allah tidak membebankan hamba-Nya dengan apa yang melebihi kemampuannya. Jadi bermakna apa yang Allah berikan pada kita, ujian pada kita itu - Allah tahu kita boleh atasi, kita boleh capai, kita boleh menangi. Maka tiada alasan; Allah percaya kemampuan kita, justeru kenapa kita tidak percaya kemampuan diri sendiri?

Saya teringat, ketika di sekolah rendah. Saya sangat suka dipilih guru mewakili ini dan itu. Tapi ketika itu saya masih kecil, saya merasakan saya boleh dapat apa yang saya mahu, asalkan saya berusaha. Saya mahu jadi wakil sukan, saya ikut saringan; larian, kalah; saya ikut melompat tinggi dan jauh, tidak sampai; saya ikut lontar peluru, ada yang lebih gagah; saya ikut permainan bola jaring dan bola baling, terlalu pendek, dan ada yang lebih berpotensi. Saya ikut kelab dan persatuan, malangnya kelab yang saya sertai itu tidak berapa menonjol, dan saya dalam kalangan kira-kira 60 orang murid - dengan rupa yang tidak berapa comel dan kemahiran yang biasa-biasa sahaja - mana bisa dikenali oleh guru-guru.

Lalu saya berusaha dalam bidang akademik. Saya tumpu pada pengajaran guru, saya buat latihan, saya belajar rajin-rajin untuk dapatkan perhatian guru. Saya suka dipilih guru untuk mewakili public speaking, pidato, saya tonjolkan diri di bidang itu. Sehinggalah suatu hari saya dapat tahu wakil bacaan puisi sepatutnya saya, tapi oleh sebab guru-guru merasakan mangkuk saya terlebih kuah, saya disingkir dari dijadikan wakil. Kecil hati usah dikata, saya rasa rendah diri untuk mengikuti apa-apa setelah itu. Tapi masih saya berusaha, menonjolkan diri yang biasa-biasa sahaja.

Saya mahu menyanyi, saya mahu menari, saya mahu berlakon, saya mahu ikut fotografi, saya mahu ikut sukan. Tapi bukan setakat kerana saya tidak yakin dengan rupa paras yang kurang menarik, saya juga seringkali terlepas peluang. Mungkin perhubungan baik dengan guru memainkan 50% peranan untuk mengundang peluang itu datang.

Kemudian hari ini saya terkilan lagi. Betapa banyak peluang yang saya terlepas.

Ah peluang, bila terkial-kial membuka pintu, rupa-rupanya kunci di bawah tikar, rupa-rupanya pintu belakang terbuka.

Setakat ini hidup saya cuma sebagai tukang tengok, tukang tepuk, tukang sorak dan tukang dengki.

Sungguh, rezeki itu di tangan Allah, siapalah saya untuk mendesak, tetapi kadangkala hati terkilan kerana terlalu banyak yang kempunan.

Allah...

[this is opinion-based. just to cheer myself up]
Share:

0 comments:

Post a Comment

Anda nak komen? PILIHAN BIJAK! Sila, sila....